KUALA LUMPUR – Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak dapat memberi sebarang komen mengenai desas-desus rombakan Kabinet melibatkan namanya.
Beliau sebelum ini dikaitkan akan kembali menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Malah Menteri Dalam Negeri itu juga seolah-olah tidak tahu apa jua keputusan berkaitan rombakan Kabinet itu.
“Saya belum nak bagi apa-apa komen lagi,” katanya ringkas.
Beliau berkata demikian kepada media selepas program Kementerian Dalam Negeri (KDN) Madani di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid akan kembali ke KDN dan Saifuddin bakal menerajui semula KPDN.
Saifuddin pernah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bermula 3 Julai 2018 sehingga Februari 2020.
Sementara itu, antara nama lain yang dikaitkan terlibat dalam rombakan Kabinet adalah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar.
Kelmarin, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan membincangkan cadangan rombakan Kabinet dalam pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
Bagaimanapun Perdana Menteri menjelaskan, rombakan Kabinet bukan perkara mendesak kerana terdapat hanya satu kekosongan jawatan perlu diisi iaitu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang sebelum ini disandang Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum ini. – MalaysiaGazette