KUALA LUMPUR – Airbnb mencadangkan agar kerajaan melibatkan hos penginapan sewaan jangka pendek (STRA) dalam semua insentif utama yang diberikan kepada para pengiat pelancongan tradisional dalam Bajet 2024 nanti.

Saranan ini bagi memastikan semua pemggiat penginapan pelancongan boleh memanfaatkan insentif kerajaan, kata Mich Goh, Ketua Dasar Awam Airbnb untuk Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan.

“Airbnb menyeru agar beberapa insentif utama yang hanya dikhususkan kepada penggiat pelancongan tradisional pada masa ini diperluaskan kepada Hos STRA sama ada individu ataupun PKS,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, STRA akan memainkan peranan penting seiring dengan pemulihan pelancongan.

Mich Goh

Dalam tinjauan Clearpath Strategies yang terkini (dijalankan antara 8 Februari hingga 2 Mac 2023), 60 peratus rakyat Malaysia yang ditinjau berkongsi mereka mungkin akan melancong dengan menggunakan Airbnb dalam tempoh 12 bulan akan datang manakala 40 peratus mungkin akan menjadi hos platform itu dalam tempoh yang sama.

Beliau berkata, ketika pelancongan semakin pulih, pengehosan di Airbnb akan membantu ramai rakyat Malaysia menjana sumber pendapatan tambahan.

“Justeru, kami menggalakkan kerajaan persekutuan untuk menyokong Garis Panduan STRA nasional yang sedang dibangunkan oleh pihak berkuasa yang berkenaan dengan maklum balas daripada pelbagai penggiat pelancongan. Garis panduan ini bakal menjadi yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara, serta mencerminkan dinamisme Malaysia dalam menerima teknologi dan inovasi dalam pelancongan,” tambahnya.

Selain itu, kerajaan juga perlu memperkasakan golongan muda di Malaysia untuk membeli rumah pertama dengan memanfaatkan pendapatan dijana melalui aktiviti STRA.

Bagi mencapai tujuan ini, Airbnb menggalakkan kerajaan untuk memanfaatkan aktiviti STRA sebagai penjana pendapatan tambahan dan menawarkan inisiatif khusus menerusi kerjasama dengan institusi-institusi kewangan yang berkenaan. Inisiatif ini boleh menawarkan skim pembiayaan berfaedah rendah bagi menyokong golongan muda dalam membeli hartanah pertama mereka.

Mich berkata, Airbnb bersedia sebagai rakan kongsi yang komited kepada kerajaan Malaysia untuk mewujudkan dan melaksanakan penyelesaian bagi menyokong ekonomi perjalanan dan pelancongan.

“Kami menantikan pembentangan Belanjawan 2024, dengan harapan bahawa Airbnb dan komuniti kami dapat memainkan peranan penting dalam menyokong usaha kerajaan
ke arah masa depan yang lebih mampan,” ujarnya.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pelancongan kekal sebagai salah satu tonggak penting ekonomi, yang menyumbang 14 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2022.

Jelasnya, Airbnb telah berkembang menjadi penggiat penting dalam ekosistem pelancongan Malaysia dan menurut laporan daripada Oxford Economics yang diterajui oleh Airbnb, platform ini menyumbang lebih RM5 bilion kepada KDNK Malaysia, dan menyokong hampir 57,000 pekerjaan pada tahun 2022, sekali gus menyumbang kira-kira 4.9% daripada sumbangan industri pelancongan kepada KDNK pada tahun 2022.

Sumbangan kepada ekonomi dan pekerjaan yang didorong oleh penggunaan Airbnb di Malaysia telah mencipta kesan gelombang ekonomi yang kuat, yang menyokong perusahaan seperti peruncit, restoran, bar dan kafe, biasanya menjadi asas kehidupan dalam komuniti tempatan dan telah menjana peluang pekerjaan tanpa mengambil kira di mana para pelancong menginap tinggal dan dengan siapa mereka menginap.- MalaysiaGazette