Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka tidak berubah dengan kecenderungan diniagakan rendah pada minggu depan dalam jajaran RM3,800 hingga RM3,950 setan metrik.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata, ini susulan jangkaan eksport lemah dan pengeluaran tinggi pada minggu-minggu akan datang.

“Harga berada di atas RM3,800 setan metrik dengan tekanan harga sekitar RM3,908 setan metrik,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, sokongan belian kukuh dari India dan China merangsang sentimen pasaran minyak sawit.

Kenaikan harga komoditi saingan minyak kacang soya juga menyokong minyak sawit.

Kontrak bulan semerta Jun 2024 meningkat RM52 kepada RM3,895 setan metrik dan Julai 2024 naik RM85 kepada RM3,894 setan metrik, manakala Ogos 2024 dan September 2024 setiap satu naik RM91 masing-masing kepada RM3,892 setan metrik dan RM3,895 setan metrik.

Kontrak Oktober 2024 meningkat RM90 kepada RM3,899 setan metrik dan November 2024 naik RM99 kepada RM3,906 setan metrik.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 331,614 lot daripada 314,352 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka turun kepada 204,710 kontrak daripada 220,693 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi Mei Selatan meningkat RM40 kepada RM3,950 setan metrik daripada RM3,910 setan metrik pada minggu sebelumnya. – BERNAMA