Remaja lelaki terperosok bawah van kilang selepas terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, Pulau Pinang hari ini.

BAYAN LEPAS – Berpantang maut sebelum ajal!

Itu pepatah sesuai digambarkan terhadap seorang pelajar Tingkatan Lima yang terselamat meskipun terperosok bawah sebuah van selepas motosikal ditungganginya dilanggar kenderaan tersebut di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, berhampiran Seagate di sini hari ini.

Kejadian pukul 6 pagi itu menyebabkan remaja lelaki tersebut mengalami kecederaan pada mulut dan badan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya terima laporan berhubung kejadian pada pukul 10.24 pagi tadi.

Hasil siasatan mendapati van kilang dipandu lelaki berusia 43 tahun itu telah melanggar bahagian belakang motosikal ditunggang remaja lelaki.

“Akibat pelanggaran itu mangsa terjatuh dari motosikalnya serta mengalami kecederaan pada mulut dan badan manakala pemandu berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kita sedang mengesan saksi bebas dan rakaman televisyen litar tertutup untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Kamarul Rizal, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan.

Terdahulu tular satu rakaman video berdurasi 15 saat menunjukkan mangsa kemalangan terperosok di bawah sebuah van kilang di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu. – MalaysiaGazette