Allaudeen bersama rakan sekelasnya mengilap piala tembaga yang pernah dimenangi ketika zaman persekolahan di VI sebagai mengimbas semula memorinya dalam Program Back to School di VI pagi hari ini.

KUALA LUMPUR – Ibarat sirih pulang ke gagang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid tidak dapat menahan keterujaaannya apabila kembali melangkah masuk ke sekolah Victoria Institution (VI) selepas 40 tahun.

Bukan sekadar itu,  beliau memberitahu, sepanjang tujuh tahun persekolahannya di VI bermula 3 Januari 1977 dan meninggalkan sekolah selepas tamat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada tahun 11 November 1983 – pelbagai kenangan manis telah di bawa bersamanya.

“Sekolah ini mempunyai tradisi sejarah berusia 130 tahun yang terus mengekalkan kecemerlangan murid dan dedikasi para guru sehingga hari ini.

“Bukan semua boleh dapat bersekolah di VI dengan mudah, hanya pelajar-pelajar cemerlang yang dapat skor tidak kurang 5A yang terpilih belajar di sekolah tersebut dan saya salah seorangnya sebagai pelajar dari keluarga biasa bersama anak-anak orang kaya.

“Saya gembira kerana komitmen, kesungguhan dan ukhwah (persahabatan) selain didikan guru akhirnya telah memastikan saya menjadi cemerlang dan kembali semula ke sekolah sebagai seorang Ketua Polis Kuala Lumpur dengan memangku pangkat komisioner hari ini,” katanya semasa berucap dalam Program Back To School di VI pagi hari ini.

Allaudeen bersama para pelajar dan guru-guru Victoria Institution selepas menyempurnakan Program Back To School pada pagi hari ini.

Berucap di hadapan lebih 500 pelajar dan lebih 20 orang guru VI, beliau berkongsi pengalamannya apabila terpaksa mengutip dana di luar dengan pergi mengetuk pintu pejabat menteri Kabinet dan juga ketua pegawai eksekutif syarikat korporat.

Ia dilakukan tanpa bantuan sesiapa dan menjadi cabaran dan mendidiknya mengenai sifat kepimpinan.

“Apatah ketika itu kami takut untuk masuk pejabat pengetua sekolah VI sebab beliau sangat tegas terhadap kami dan saya masih boleh imbas kembali perasaan itu apabila melangkah semula ke bilik itu hari ini.

“Selain itu, kerja paling utama yang diberikan untuk kami pada ketika itu adalah saya dan rakan-rakan sekelas perlu mengilap piala kemenangan sekolah yang diperbuat daripada tembaga agar kekal berkilat,” katanya lagi.

Menurut beliau, sesuai dengan slogannya ‘Scholar, Sportsman dan Gentleman – VI melahirkan ramai cendekiawan serta pemimpin hasil didikan guru-gurunya dan gembira tradisi prestasi cemerlang itu masih dikekalkan sehingga hari ini dalam akademik dan juga kokurikulum.

Katanya, tradisi kecemerlangan yang dicapai selama 130 tahun itu perlu diteruskan.

“Anda dan juga sekolah VI kita ini mungkin hebat pada hari ini, tetapi sama ada hendak meneruskan kehebatan itu anak-anak semua yang ada di sini sekarang perlu menyerlah dan menjadikan diri dan sekolah lebih hebat demi memelihara tradisi kecemerlangan itu.

“Untuk itu, setiap pelajar perlu mempunyai nilai jati diri tinggi serta bekerja keras untuk menyerlah dalam akademik, sukan dan siasah diri demi memastikan tradisi sekolah kita terus terpelihara,” ujarnya.

Beliau juga memesan kepada pelajar bahawa dunia siber sekarang kian mencabar dan mengehadkan peluang kerjaya selepas menamatkan pengajian.

Oleh demikian pelajar perlu mempersiapkan diri daripada sekarang untuk mempertimbangkan profesion kepolisan sebagai salah satu kerjaya hidup mereka.

“Seperti kerjaya lain, bidang polis juga membolehkan anda mencurahkan sumbangan lebih bermakna dan besar kepada negara tercinta kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast