Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tiga individu yang disyaki terlibat kejadian memukul seorang penunggang motosikal di tepi jalan kerana tidak berpuas hati ditegur memandu secara merbahaya ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, semalam pihaknya telah menerima satu laporan daripada pengadu yang merupakan warga tempatan berumur 21 tahun mengenai kejadian itu.

Dalam aduan itu, mangsa mendakwa semasa kejadian pada Ahad lalu, dia yang menaiki motosikal telah membunyikan hon pada sebuah kereta kerana memandu secara berbahaya dan hampir melanggarnya.

“Kemudian, pemandu kereta tersebut tidak berpuas hati dan telah menghalang pergerakan pengadu di persimpangan lampu isyarat di Jalan Langat-Klang.

“Salah seorang (suspek) daripada tiga lelaki dalam kereta itu keluar dari kenderaan dan menolak pengadu sehingga jatuh dari motosikal sebelum mula mencekik, menumbuk muka, menendang perut dan kaki pengadu beberapa kali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hoong Fong, suspek juga didakwa telah telah menendang motosikal pengadu sehingga jatuh dan menyebabkan kerosakan pada cover set motosikal mangsa.

Rentetan kejadian itu, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan dan khianat yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya.

Bertindak atas maklumat dan aduan mangsa kejadian, pada 2 Oktober lalu polis Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Klang Selatan telah menangkap tiga suspek warga tempatan yang disyaki terlibat.

“Ketiga-tiga suspek yang ditangkap itu adalah berusia lingkungan antara 28 hingga 39 tahun. Semakan lanjut mendapati kesemua suspek mempunyai dua rekod kesalahan jenayah lampau dadah selain ujian saringan awal air kencing terhadap kesemua suspek mendapati suspek utama yang berumur 39 tahun positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Siasatan juga dilakukan ke atas kesemua suspek di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketiga-tiga suspek akan direman bermula hari ini di Mahkamah Klang untuk membantu siasatan lanjut pihaknya.

Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat lain berhubung kejadian ini boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi ipd klang selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan lanjut.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast