national diver Pandalela Rinong rape joke dirty jokes ex-coach lewd jokes culture victim
Pandelela Rinong

HANGZHOU – Seiring usianya, ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong memilih untuk menjalani latihan secara bijak berbanding latihan yang lebih keras dalam usahanya memburu slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Namun, penerjun elit berusia 30 tahun itu berkata, berbaki lebih kurang setahun menjelang temasya empat tahun sekali itu, beliau tetap akan berlatih bersungguh-sungguh selain bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk mencapai kualiti terjunan yang baik.

“Kalau nak buat dari segi kuantiti mungkin makin letih dan saya juga sudah besar (berumur). (Jadi) saya akan cuba tingkatkan kualiti terjunan,” katanya ketika ditemui di Arena Sukan Akuatik Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, di sini.

Pandelela membantu kem terjun negara menjadi lubuk pingat di Sukan Asia Hangzhou 2022 apabila menyumbang dua gangsa masing-masing dalam acara 10 meter (m) platform seirama wanita bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri dan 10m platform individu wanita.

Beliau yang belum melayakkan diri ke Paris 2024 berpeluang melakukannya pada kejohanan terjun Piala Asia 2023 yang dijadual berlangsung November ini di venue yang belum ditetapkan dan Kejohanan Dunia 2024 di Doha, Qatar, Februari tahun depan.

Hanya penerjun muda Bertrand Rhodict Lises sudah melayakkan diri ke Paris 2024 dalam acara 10m platform lelaki.

Untuk rekod, Pandelela merangkul pingat gangsa dalam acara 10m platform wanita di Sukan Olimpik London 2012 dan memenangi perak dalam acara 10m platform seirama wanita berpasangan dengan Cheong Jun Hoong pada edisi 2016 di Rio de Janeiro. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast