Dr Ramle Moslim (enam dari kiri) bersama pekebun-pekebun kecil di Program Pemantapan MSPO di Pelangai, Bentong, Pahang.

KUALA LUMPUR – Kesemua sembilan Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) di Pahang telah mendapat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) membabitkan seramai 11,868 orang pekebun kecil dengan keluasan 36,336.75 hektar.

Terdapat 12,561 orang pekebun kecil yang mengusahakan kebun sawit dengan keluasan 41,383.00 hektar di Pahang sehingga 30 September 2023, menjadikan purata milik kawasan tanaman sawit bagi setiap pekebun kecil di Pahang ialah 3.3 hektar.

Pelaksanaan MSPO bagi pekebun kecil persendirian di bawah seliaan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah berjaya mempersijilkan 162 SPOC melibatkan 196,607 orang pekebun kecil dengan keluasan kebun 736,822 hektar di seluruh negara sehingga September tahun ini.

“Pelaksanaan Pensijilan MSPO dapat meningkatkan daya saing dan memperkukuhkan imej industri sawit negara dan memastikan penanaman sawit menepati peraturan alam sekitar dan amalan pertanian baik yang diterima di peringkat antarabangsa.

“Pelaksanaan Pensijilan MSPO berdasarkan peraturan dan amalan kemampanan bagi pengeluaran minyak sawit mampan dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil,” kata Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir di majlis Program Pemantapan MSPO Pekebun Kecil Negeri Pahang yang dianjurkan oleh MPOB di sini hari ini. ;;Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan) MPOB Dr Ramle Moslim.

Sehubungan itu, kerajaan menerusi MPOB giat berusaha untuk membantu semua pekebun kecil untuk mendapat Pensijilan MSPO dan antaranya adalah menempatkan Pegawai Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) dari MPOB untuk membantu mereka melaksanakan amalan pertanian baik dan seterusnya mendapatkan pensijilan tersebut.

Justeru, tiga Pejabat TUNAS MPOB beroperasi di Pahang iaitu di Pejabat Temerloh, Pejabat Kuantan dan Pejabat Raub yang semuanya menyediakan khidmat nasihat penanaman sawit dan pemindahan teknologi kepada pekebun kecil. Pekebun kecil di daerah Bentong boleh berkunjung ke pejabat TUNAS MPOB yang terdekat untuk mendapatkan khidmat nasihat MPOB secara percuma.

Beliau juga berkata, kerajaan juga menyediakan insentif sebanyak RM30 juta pada tahun 2019 yang merangkumi kos yuran Pensijilan MSPO, latihan berkaitan MSPO, penyediaan rak penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk membantu pekebun kecil.

Kerajaan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi juga menubuhkan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) di seluruh negara bertujuan menyatukan pekebun kecil sawit bagi menjalankan aktiviti ekonomi melalui amalan pertanian baik dan jualan buah tandan segar sawit secara berkelompok terus ke kilang melalui penubuhan Pusat Timbang.

Sehingga 30 September 2023, sebanyak 69 buah KPSM telah ditubuhkan di Malaysia dengan 24 daripadanya terletak di Semenanjung Malaysia.

Jumlah keahlian KPSM di negeri Pahang adalah seramai 421 orang yang masih rendah jika dibandingkan dengan bilangan pekebun kecil persendirian yang mengusahakan tanaman sawit.

Sebanyak 69 buah Pusat Timbang telah siap dibina sepenuhnya di seluruh negara dengan jumlah jualan buah tandan segar sebanyak 290,446.05 tan sehingga September tahun ini.

Dalam pada itu, Datuk Dr Ahmad Parveez berkata, kerajaan menerusi MPOB melaksanakan Skim Insentif Integrasi Tanaman dengan Sawit (ITa) bertujuan untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun kecil sawit persendirian melalui penggunaan tanah dan sumber semula jadi yang optimum.

Program integrasi itu melibatkan tanaman kontan seperti pisang, jagung, tembikai, betik, dan nanas dan MPOB telah menambahbaik skim tersebut dengan memperkenalkan dua jenis tanaman iaitu serai dan cendawan.

Selain itu, Skim Insentif Integrasi Ternakan dengan Sawit (ITe) turut dilaksanakan bertujuan untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun kecil sawit persendirian melalui penggunaan tanah dan sumber semula jadi optimum.

Ahmad Parveez menambah, MPOB telah menubuhkan Kelab 30 Tan bagi pekebun kecil sawit yang berjaya mencapai pengeluaran hasil buah tandan segar 30 tan sehektar setahun dan ke atas.

“Kelab 30 Tan adalah pengiktirafan serta bukti kehebatan pekebun kecil yang mampu mencapai produktiviti tinggi dengan mengamalkan amalan pertanian baik yang turut disokong Pensijilan MSPO,” tambah beliau.

Sehingga 30 September 2023, keahlian Kelab 30 Tan telah meningkat kepada 2,391 orang di seluruh negara dan seramai 123 orang pekebun kecil adalah pekebun kecil di negeri Pahang. – MalaysiaGazette