Datuk Rizalman Ibrahim dilantik sebagai Profesor Adjung Fakulti Akademi Kontemporari Islam (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkuat kuasa 13 Ogos 2023 hingga 30 Julai 2025.

KUALA LUMPUR – Pereka fesyen terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim dilantik sebagai Profesor Adjung Fakulti Akademi Kontemporari Islam (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkuat kuasa 13 Ogos lalu hingga 30 Julai 2025.

Pengurusan Kumpulan Syarikat Rizalman Ibrahim (RIC) dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Rizalman, 52, dibuat berdasarkan pengalaman luas pereka fesyen dan ahli perniagaan itu dalam bidang yang diceburi beliau sepanjang tiga dekad.

Pelantikan pengasas dan Pengerusi RIC itu juga diyakini akan memberi peluang kepada Rizalman menyumbang idea dan buah fikiran dalam mengolah pemikiran generasi muda.

“Berbekalkan pengalaman luas dalam pelbagai bidang yang diceburi selama ini serta jiwa ‘Philanthropis’ dimiliki, kami yakin beliau dapat menyumbang idea dan buah fikiran dalam mengolah pemikiran generasi muda terutamanya di institusi pengajian tinggi untuk menjadi seorang yang berfikiran luas dan berpandangan jauh,” kata kenyataan itu.

Untuk rekod, Rizalman juga pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah UiTM selama tiga tahun.

Selepas mengumumkan persaraan sebagai pereka fesyen pada 20 Februari 2020, anak kelahiran Pulau Pinang ini memberi fokus pada kerja kebajikan, selain mendalami agama.

Susulan keputusan beliau meninggalkan gelanggang fesyen, Rizalman mengasaskan Yayasan Rizalman Ibrahim bersandarkan kepada niatnya untuk membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat sejagat.

Sehingga kini, Yayasan Rizalman Ibrahim tidak pernah berhenti menyalurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan selain memberikan bantuan dari segi dana kepada sejumlah besar pelajar dari pelbagai universiti terkemuka. – MalaysiaGazette