Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama calon Barisan Nasional (BN) N36 Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam ketika di Ceramah Mega Perpaduan Madani sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N36 DUN Pelangai di Simpang Pelangai, Bentong, Pahang. Foto MOHD ADZLAN, 02 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Datuk Amzar Abu Adam yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, kemenangan Amizar itu menjadi kesinambungan kecemerlangan di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram hasil kesepaduan kerjasama rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan yang berjaya mendobrak naratif fitnah dan perkauman sempit.

“Alhamdulillah, tahniah kepada Datuk Amizar Abu Adam yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

“Terima kasih saya ucapkan kepada para pengundi yang terus memberi kepercayaan kepada Kerajaan Perpaduan.

“Sekalung penghargaan juga kepada barisan jentera yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata, kemenangan Amizar mampu meniup semangat kepada Kerajaan Perpaduan untuk terus merancakkan agenda pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat berlandaskan kerangka ekonomi Madani.

Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai yang diumumkan malam tadi menyaksikan Amizar yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) menang walaupun majoriti rendah berbanding Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU).

Kemenangan Amizar, 53, yang merupakan anak jati FELDA Chemomoi memastikan DUN Pelangai, yang terletak kira-kira 200 kilometer dari Kuantan, kekal sebagai kubu kuat BN di Pahang sejak 1986.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu selepas Johari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu. – MalaysiaGazette