Ahmad Jazlan Yaakub

KUALA LUMPUR – Kemenangan Datuk Amizar Abu Adam dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan negeru (DUN) Pelangai, Pahang malam tadi menunjukkan pengundi telah membuat keputusan yang tepat dan bijaksana.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, keputusan itu juga sekali gus menafikan dakwaan Perikatan Nasional (PN) bahawa gabungan antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PHBN) ditolak rakyat.

Jelas beliau, pengundi mula sedar gabungan Kerajaan Perpaduan Nasional ini adalah yang terbaik bagi mereka yang mementingkan hubungan harmoni pelbagai kaum.

“Alhamdulillah, segala puji dan syukur semutlaknya milik Allah. Dia Yang memberikan kemenangan dan Dia juga berkuasa menentukan kekalahan. Apa jua keputusan kami sentiasa bermuhasabah untuk menjadi lebih baik, InsyaAllah.

“UMNO Kelantan mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar Pahang atas kejayaan mempertahankan kerusi DUN Pelangai dalam PRK malam tadi

“Tidak lupa juga kepada seluruh jentera BN dan PH yang bertungkus lumus bekerja keras bagi kemenangan calon Kerajaan Perpaduan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Keputusan semalam menyaksikan Amizar menang dengan majoriti undi 2,949 selepas mendapat 7,324 undi mengalahkan calon PN, Kasim Samat yang memperoleh 4,375 undi dan calon bebas, Haslihelmy DM Zulhasli (47 undi).

Namun, menurut Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan Madani Kelantan, masih banyak lagi perlu diperbaiki prestasi dan tahap keyakinan pengundi Melayu terhadap kerjasama gabungan PHBN ini yang baharu mencapai setahun.

Jelas beliau, indikator terbaru bahawa BN menang lapan daripada sembilan saluran anak muda dalam PRK semalam memberi petanda sokongan belia terhadap kerajaan pada hari ini telah meningkat. – MalaysiaGazette