ALOR SETAR – Peserta wanita kejohanan triatlon Ironman di Langkawi yang sebelum ini dilaporkan kritikal, meninggal dunia lewat petang tadi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari yang dihubungi Bernama malam ini, mengesahkan perkara itu tanpa memberikan butiran lanjut.

Terdahulu, Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Othman Warijo berkata wanita berusia 44 tahun itu, yang berasal dari Kuala Lumpur, telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Maliha di Langkawi semalam selepas tidak sedarkan diri dipercayai ketika melakukan disiplin renang.

Dr Othman berkata, wanita itu ditempatkan di Unit Rawatan Rapi dan berada dalam keadaan kritikal. – Bernama