PUTRAJAYA – Sebarang keputusan untuk mendakwa bekas Pegawai Bank Goldman Sachs. Roger Ng bergantung kepada hasil siasatan yang akan dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) nanti.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, masih terlalu awal untuk pihaknya membuat sebarang ramalan atau andaian sama ada Ng akan didakwa atau tidak selepas selesai siasatan di sini.
“Saya serahkan ia kepada polis untuk menentukannya memandangkan mereka lebih sedia maklum Seksyen dan undang-undang yang digunapakai untuk siasatan Roger Ng,” katanya ketika ditanya pemberita dalam sidang media yang diadakan di kementeriannya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini siasatan ke atas Roger Ng oleh pihak KDN.
Ditanya mengenai tempoh keberadaan serta siasatan ke atas Ng, Saifuddin berkata, perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada PDRM untuk mengendalikannya.
“Polis uruskan kes ini. Jika ada keperluan pembabitan siasatan agensi lain, mereka akan memaklumkan kepada kita (siasat Roger Ng),” katanya
Ditanya mengenai seksyen yang digunakan oleh polis untuk menyiasat Roger Ng, beliau bagaimanapun memaklumkan bahawa ia diserahkan kepada polis sepenuhnya untuk menentukan.
“Ia saya serahkan sepenuhnya kepada polis untuk menentukan, mereka akan kenal pasti bawah undang-undang apa (siasatan) dan sebagainya.
“Malah, had tempoh had penahanan dia juga tidak pasti, ia tertakluk kpada kepantasan agensi peguatkuasaan yang siasat, tegasnya.
Dalam pada itu beliau juga mengesahkan objektif utama Ng dibawa pulang ke Malaysia untuk memastikan pihak berkuasa Malaysia mendapatkan semula aset-aset dana 1Malaysia Development Berhad.
“Objektif utama kita (KDN) adalah mengenai usaha untuk mengambil kembali aset-aset itu (1MDB) yang merupakan milik rakyat Malaysia kerana pembabitan beliau dalam Goldman Sachs dan sebagainya bergantung hasil siasatan sepenuhnya nanti,” jelasnya lagi.
Hari ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan siasatan akan dimulakan oleh polis terhadap Ng.
Semalam, beliau juga mengesahkan kepada MalaysiaGazette bahawa Ng sudah berada di Malaysia selepas dibawa dari New York untuk menghadapi siasatan di negara ini.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan lokasi spesifik keberadaan Roger Ng atas faktor keselamatan individu tersebut.
Pada Jumaat minggu lalu, media luar negara melaporkan Ng telah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Jabatan Keadilan (DOJ) di New York, Amerika Syarikat
selepas disabitkan kesalahannya membantu menggelapkan berbilion dolar dana 1MDB.
Sebelum itu, Ketua Hakim Daerah AS Margo Brodie di Booklyn telah mengarahkan Ng untuk menyerahkan diri kepada Perkhidmatan Marshal AS supaya dia boleh diserahkan kepada penguatkuasa undang-undang Malaysia untuk diteruskan siasatan.
Saifuddin sebelum dilaporkan berkata, Ng hanya akan berada di AS untuk sementara waktu untuk menghadapi perbicaraan di sana.
“Dia telah disabitkan dan dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun penjara, tetapi belum lagi menjalani pemenjaraan memandangkan siasatan belum selesai di Malaysia, maka untuk itu kita ada perjanjian dengan DOJ dan memaklumkan apabila perbiacaraan selesai di AS, dia boleh dapatkan dia semula,” katanya.-MalaysiaGazette