Datuk Seri Yahaya Othman (tengah) dalam sidang media di IPK Pahang, di sini hari ini.

KUANTAN – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang menahan 10,882 orang yang disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah sehingga bulan September tahun ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 7,243 merupakan penagih dadah yang ditahan mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Selain itu, 987 suspek yang merupakan pengedar /tokan dadah ditahan mengikut Seksyen 39B ADB 1952, Seksyen 39A (2) AD 1952, Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan Seksyen 6B ADB 1952,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, seramai 2,590 suspek memiliki pelbagai jenis dadah turut ditahan mengikut akta dadah dan racun, mankala sebanyak 62 tangkapan dilakukan JSJN Pahang terhadap individu yang didapati terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.

“Sepanjang Januari hingga September 2023, JSJN Pahang berjaya membuat rampasan pelbagai jenis dadah berjumlah RM2,216,669.35.

“Pil Yaba antara jenis dadah yang paling banyak dirampas membabitkan 36,517 biji, selain 36,006.40 liter air ketum,” kata Yahaya.

Dalam pada itu, Yahaya berkata, polis Pahang menerusi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) memandang serius kegiatan perjudian seperti Loteri Awam Haram (Empat Nombor Ekor), Judi Pertaruhan, Judi Dalam Bangunan dan Luar Bangunan.

Katanya, tindakan seperti memohon pemotongan bekalan elektrik kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dilakukan ke atas premis yang dijadikan pusat aktiviti perjudian.

“Daripada 58 permohonan, sebanyak 51 buah premis telah dipotong bekalan elektrik sementara 16 permohonan pembatalan permit perniagaan juga dibuat kepada pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Menurut Yahaya, seramai 861 suspek terbabit aktiviti perjudian telah ditangkap hasil 616 serbuan yang dijalankan di seluruh negara sehingga 5 Oktober lalu.

Turut dirampas, 136 unit tablet pelbagai jenama, 213 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 11 unit laptop, dua unit PC, 38 unit router, 32 unit modem dan wang tunai berjumlah RM226,348.00.

Yahaya berkata, pihaknya akan meneruskan tindakan serbuan dan tangkapan ke atas semua jenis perjudian yang ada dan mengalu-alukan maklumat daripada orang awam. – MalaysiaGazette