PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meminta Kementerian Kewangan mempertimbang dua perkara dalam Belanjawan 2024 termasuk mewujudkan inisiatif pengukuhan perlindungan sosial dan perlindungan jaminan makanan.
Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, usaha itu perlu dipertingkat bagi memastikan wujud pengukuhan dalam inisiatif dan program perlindungan jaminan sosial kepada rakyat.
Ini kerana katanya, rasionalisasi subsidi perlu hadir bersama-sama dengan perlindungan jaminan sosial terutama kepada golongan pendapatan rendah dan menengah.
“Aspek rasionalisasi subsidi ini semestinya akan terkait dengan kos sara hidup dan KPDN telah diberi tanggungjawab untuk kita melihat isu menangani kos sara hidup.
“Kita sedia maklum kepimpinan negara, kementerian ekonomi, MoF (Kementerian Kewangan) sebelum ini menyebut bahawa kerajaan akan melaksanakan rasionalisasi subsidi dan telah pun dimulakan secara berperingkat dan tahun hadapan usaha ini akan dipertingkat lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Penyerahan Sijil Kelulusan Pendaftaran Francais dan Lesen Jualan Langsung di kementeriannya, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai kos sara hidup, Armizan berkata, antara cabaran yang dihadapi pihaknya adalah berkaitan kadar barangan keperluan.
Katanya, KPDN berharap agar kerajaan melakukan lonjakan dalam merintis aspek melibatkan peningkatan keterjaminan makanan, penghasilan domestik dalam belanjawan.
“Sebelum ini kita lihat pendekatan lebih kepada mendapatkan bekalan import dari luar yang dianggap lebih murah berbanding menghasilkan barang makanan tersebut peringkat domestik.
“Kita lihat landskap semasa, cabaran geopolitik dan sebagainya terdapat faktor-faktor yang mempengaruhi harga barang yang di luar kawalan kerajaan.
“Sudah tiba masanya untuk kerajaan lebih fokus, agresif dalam aspek wujudnya keterjaminan bekalan makanan rakyat yang diperolehi daripada penghasilan domestik,” ujarnya.
Dalam pada itu, ditanya bagaimana cara mahu meredakan kemarahan rakyat susulan kenaikan harga barang ketika ini, Armizan memberitahu, pihaknya perlu memberikan kefahaman dan maklumat yang tepat kepada rakyat kerana kawalan atau sebarang bentuk subsidi itu bukan dilaksanakan serta-merta.
Katanya, dengan cara itu rakyat akan dapat memahami tentang keperluan pelaksanaan rasionalisasi subsidi yang melibatkan peningkatan harga barang tertentu.
“Ada perkara tertentu (barang) di luar kawalan kerajaan sendiri kerana harga barang itu ditentukan oleh harga pasaran di peringkat global,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















