Seorang lelaki parah akibat ditikam peniaga nasi ayam di medan selera pasar Lebuh Cecil, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Masalah hutang dikatakan punca peniaga nasi ayam bertindak menikam perut seorang lelaki menggunakan pisau dalam kejadian di medan selera pasar Lebuh Cecil di sini hari ini.

Kejadian 3.10 petang itu, menyebabkan mangsa berusia 26 tahun mengalami kecederaan pada perut selain kakinya turut dikelar.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, anggota polis bergegas ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan berhubung pergaduhan di kawasan pasar berkenaan.

Mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah dalam kereta oleh pihak polis.

Jelas beliau, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati seorang lelaki berada di dalam sebuah kereta dalam keadaan berlumuran darah sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

“Susulan itu, polis menggerakan operasi memburu suspek sebelum menahan seorang lelaki berusia 51 tahun pada jam 6.40 petang di Macallum.

“Semakan ke atas suspek mendapati dia mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah, namun ujian saringan air kencingnya bebas daripada pengambilan dadah.

“Siasatan lanjut juga mendapati mangsa ditikam berpunca daripada masalah hutang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lokasi mangsa ditikam.

Tambah Soffian, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan permohonan reman terhadap suspek akan dilakukan esok.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan gambar atau video berkenaan kejadian tersebut.

“Selain itu, sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Asisten Superintendan K. Linkeswaran di talian 04 218 1831 bagi membantu siasatan,” kata beliau. – MalaysiaGazette