Awang Solahuddin Hashim

KUALA LUMPUR – Usul Dr Mohammed Taufiq Johari yang diluluskan untuk dibahaskan oleh Dewan Rakyat hari ini kecoh.

Ia berlaku apabila Datuk Awang Solahuddin Hashim (PN-Pendang) menggelar Mohammed Taufiq sebagai ‘anak papa’.

“Anak papa, anak papa,” teriak Awang Solahuddin.

Awang membuat kenyataan itu kerana membela Shahidan Kassim (PN-Arau), yang mempersoalkan mengapa usul yang dikemukakannya kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul pada Selasa dan masih menunggu keputusan.

Sebaliknya,  usul Taufiq yang dikemukakan semalam sudah pun  diluluskan hari ini.

Terdahulu, Alice memberitahu Dewan Rakyat bahawa Speaker, Tan Sri Johari Abdul meluluskan usul Mohammed Taufif supaya isu sebuah kilang beras di Kedah yang disita kerana disyaki menyorok beras putih tempatan (BPT) seberat 180 tan dibahaskan di Parlimen.

“Saya sudah mengarahkan Pendang (Awang) untuk menarik balik (kenyataannya). Memandangkan dia enggan, dia dialu-alukan untuk ‘berehat’ sehingga selepas makan tengah hari,” kata timbalan speaker, Alice Lau.

Alice berkata, kenyataan Awang adalah sesuatu prasangka jahat kepada Mohammed Taufiq.

Sebagai tindak balas, Awang berkata “kami semua adalah ‘anak papa'” dan Lau mengarahkannya meninggalkan Dewan Rakyat.

Terdahulu, teriakan Awang mendorong RSN Rayer (PH-Jelutong) bangun mengarahkan Awang untuk menarik balik kenyataan tersebut.

“Siapa yang buat tuduhan anak papa itu, berani bangun,” kata Rayer.

Manakala Taufiq turut meminta Awang untuk tarik balik kenyataan tersebut.

“Saya mahu Pendang tarik balik,” kata Mohammed Taufiq.

Awang bangun menjelaskan: “Saya nak tanya akan siapa, kalau bukan anak papa”. – MalaysiaGazette