Skim Insurans Am Selangor (INSAN). Foto AFFAN FAUZI

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengesahkan tiada wujud isu pelanggaran maklumat peribadi pelanggan dalam Skim Insuran Am Selangor (Insan).

Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengesahan oleh BNM itu  berdasarkan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 [Akta 758] dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 [Akta 759], yang mana persetujuan pelanggan untuk mendapatkan perlindungan dengan memberi maklumat data peribadi mereka melalui aplikasi Wavpay.

“Pihak BNM mendapati, isu pendaftaran pelanggan secara haram yang dibangkitkan  berkaitan dengan polisi/ sijil induk yang dikeluarkan secara bernama,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (Perikatan Nasional-Larut) berkenaan tindakan yang diambil ke atas pihak yang terlibat dalam skandal Insan berikutan pelanggaran tatakelola di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 kerana mendaftar pelanggan secara haram tanpa pengetahuan dan kebenaran penama.

Anwar berkata, semakan BNM mendapati Skim Insan merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor untuk memberi perlindungan insurans atau takaful kemalangan diri secara percuma kepada rakyat Selangor yang berumur dari 30 hari sehingga 80 tahun.

Skim ini adalah dilindungi di bawah skim insurans/ takaful kemalangan diri berkumpulan ( GPA), yang mana polisi/ sijil induk dikeluarkan oleh rakan kongsi insurans/ takaful yang dilantik iaitu AmGeneral Insurance Berhad (AmGeneral) dan Takaful Ikhlas General Berhad (Takaful Ikhlas) kepada Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd (Wavpay) selaku pemegang polisi/sijil induk dan juga pengendali perkhidmatan yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi Skim Insan, jelas beliau.

Jelas Anwar, GPA yang ditawarkan oleh syarikat insurans atau takaful di bawah skim berkenaan tidak memerlukan kelulusan dari pihak BNM.

“Walau bagaimanapun, pihak BNM boleh menjalankan pemeriksaan dan mengambil tindakan yang sewajarnya sekiranya terdapat sebarang isu tentang produk insurans/ takaful yang ditawarkan oleh syarikat insurans/ takaful,” tambah Anwar lagi.

Menurut beliau, terdapat dua jenis polisi/ sijil induk yang dikeluarkan kepada Wavpay selaku pemegang polisi/sijil induk yang ditawarkan syarikat insurans/takaful yang dilantik iaitu secara bernama dan tidak bernama.

Bagi polisi atau sijil induk secara bernama hanya individu yang dinamakan sebagai orang yang dilindungi di bawah polisi tersebut layak mendapat manfaat perlindungan GPA.-MalaysiaGazette