Gambar hiasan

NIBONG TEBAL – Seorang wanita kerugian RM1.48 juta selepas menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan mata wang kripto tidak wujud yang diiklankan melalui Facebook.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Ng Ah Thiam berkata, juru audit syarikat swasta berusia 43 tahun itu terjerat dengan penipuan itu selepas dia tertarik dengan iklan pelaburan tersebut di Facebook pada 2 Mei lalu.

Jelas beliau, mangsa menekan pautan laman web pada iklan tersebut bagi mendapatkan penerangan mengenai pelaburan saham yang ditawarkan syarikat yang didakwa berpangkalan di New York.

“Wanita tersebut minat dengan tawaran pelaburan itu sebelum membuat beberapa transaksi pindahan wang berjumlah RM1,486,750 ke beberapa akaun yang diberikan sindiket.

“Bagaimanapun, dia gagal mengeluarkan keuntungan beserta modal yang dilaburkan, selain secara berterusan dipaksa menambah wang pelaburan.

“Susulan itu, mangsa rasa dirinya diperdaya sebelum tampil membuat laporan polis pada Isnin lalu,” katanya dalam satu kenyataan media malam tadi.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan berwaspada serta tidak mudah mempercayai sebarang pelaburan yang menjanjikan keuntungan berganda terutamanya menerusi media sosial,” kata beliau.