KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berpuas hati dengan pemasangan rumput baharu di padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang ditajanya.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang memberitahu, Tunku Ismail turut mencadangkan beberapa perkara mengenai penyelenggaraan rumput di padang berkenaan.

“Tunku Ismail kelihatan puas hati dengan status dan telah memberikan beberapa cadangan mengenai penyelengraan padang tersebut.

“Kita berharap esok dapatkan maklum balas daripada Kim Pan Gon (Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan Malaysia) dan pasukan Harimau Malaya kerana mereka yang akan gunakan padang ini.

“Saya lihat hijau cantik, tetapi bagi pemain bola sepak mereka ada komen masing-masing. Jadi, saya rasa pasukan Harimau Malaya boleh komen. Setakat ini Tuanku puas hati,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Hannah mengiringi Tunku Ismail meninjau keadaan padang di stadium berkenaan.

Turut mengiringi Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksektif Perbadanan Stadium Malaysia, Mohd Faidz Sanusi.

Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi antara empat buah stadium utama di Asia Tenggara yang menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia, selain Stadium Nasional Singapura, Stadium Utama Gelora Bung Karno serta Stadium JDT, Stadium Sultan Ibrahim.

Penanaman rumput Zeon Zoysiaitu  bagi menggantikan rumput jenis Cow Grass dianggarkan mencecah kos sehingga RM1.4 juta.

Rumput Zeon Zoysia jenis lasak dengan cuaca hujan dan tahan panas berbanding cow grass yang tidak sesuai lagi digunakan untuk bola sepak moden.

Ia kerana rumput tersebut mempunyai akar yang pendek dan daun besar serta lembut, menyebabkan bola melantun setiap kali melakukan hantaran.

Skuad Harimau Malaya akan membuat penampilan di pentas Pestabola Merdeka 2023 bersama India dan Tajikistan esok hingga 17 Oktober ini.

– MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast