Datuk Zulkarnain Mahdar
Zulkarnain Mahdar. foto IQBAL BASRI, 17 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mencabar Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyaman peguam kanan kepada bekas Ketua Menteri Sabah, Tengku Fuad Tengku Ahmad kerana memfitnah beliau mensabotaj Sabah Forest Industries (SFI) pada 2017.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, jika Shafie merasakan dirinya mangsa fitnah, Presiden Warisan itu perlu mengambil tindakan undang-undang dan membuat laporan polis dengan segera.

“Kita cabar Shafie saman Tengku Fuad ini, samanlah kalau berani, Tengku Fuad telah buat kenyataan terbuka.

“Ini bukan (dakwaan) kecil, hampir 600 keluarga masih tinggal dalam kuarters SFI tanpa ada bekalan elektrik.

“Kita selama ini menyalahkan kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) yang tidak mengatur dengan baik SFI. Rupa-rupanya Kerajaan Warisan.

“Shafie buatlah laporan polis fitnah, Tengku Fuad telah memfitnah beliau penyebab SFI itu ditutup, ini bukan perkara kecil,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Selasa lalu, MalaysiaGazette melaporkan Zulkarnain menggesa Jabatan Peguam Negara mengenakan pertuduhan terhadap Shafie didakwa mensabotaj usaha pengambilalihan SFI, iaitu kilang kertas terbesar di negara sejak 2017.

Ini kerana berikutan kegagalan Shafie menjawab pendedahan yang dibuat peguam kepada bekas Ketua Menteri Sabah itu yang dilaporkan media tempatan Sabah pada 6 September lalu.

Tengku Fuad mendakwa, berikutan pilihan raya negeri, kerajaan pimpinan Warisan menghalang pelaksanaan tender dengan enggan mengeluarkan perjanjian lesen kayu baharu kepada Pelangi Prestasi Sdn Bhd.

Katanya, syarikat tersebut pada 2017 berjaya memenangi bida bernilai RM1.2 bilion daripada Syarikat India, Ballapur Industries Ltd, yang memiliki 90 peratus SFI.

Dalam pada itu, Zulkarnain juga melahirkan rasa kesal dengan tindakan Shafie yang telah menyebabkan syarikat penyelamat kilang kertas itu kerugian lebih RM100 juta.

“Siapa punca SFI tutup? Sampai sekarang tiada apa-apa jawapan balas baik Shafie mahupun Datuk Mohd Aziz Jamman, semua zip mulut.

“Kenapa syarikat Pelangi Prestasi saman kerajaan negeri Sabah pada 2019. Ketika itu kerajaan Warisan di Sabah.

“Syarikat ini telah membayar deposit lebih RM100 juta kepada orang tengah yang menguruskan perjanjian (bida SFI),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast