MoU China
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Spekulasi mengenai pengisian jawatan tertinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terjawab hari ini, selepas ahli majlis badan itu sebulat suara bersetuju menamakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai presiden baru mereka.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang mengumumkan keputusan dibuat mesyuarat majlis yang ketiga hari ini berkata, tarikh sebenar pelantikan Tengku Zafrul akan dibincangkan pada mesyuarat majlis yang akan datang pada bulan Disember.

“Kami (ahli majlis BAM) menjangkakan pelantikan Tengku Zafrul akan dimuktamadkan pada Januari 2024,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Pada Ogos, Mohamad Norza mengejutkan ramai pihak selepas mengumumkan beliau akan melepaskan jawatan Presiden BAM hujung tahun ini, kerana sebelum itu pada Julai beliau mengumumkan akan meninggalkan badan kebangsaan itu selepas Sukan Olimpik Paris 2024.

Sementara itu Mohamad Norza optimistik bahawa Tengku Zafrul yang merupakan seorang yang dinamik dan progresif mampu untuk mengendalikan badan itu dan meneruskan legasi yang ditinggalkan beliau sejak mula memegang jawatan itu pada 2017.

Beliau berkata, pengalaman luas Tengku Zafrul dalam dunia korporat sebelum terjun ke dunia politik tentunya akan membantu beliau membawa BAM ke satu peringkat lebih baik.

Mohamad Norza mendedahkan bahawa Tengku Zafrul telah menunjukkan minat untuk menjadi penggantinya, manakala maklum balas daripada pihak berkepentingan BAM setakat ini adalah positif.

“Nasihat saya kepadanya ialah beliau perlu berusaha untuk memahami ekosistem badminton, bertemu semua pihak yang berkepentingan, jurulatih pentadbir dan pemain, untuk mendapatkan input mengenai apakah yang perlu diperbaiki.

“Saya tahu ia bukan suatu yang mudah (untuk menjadi Presiden BAM). Itulah sebabnya kami memerlukan seseorang yang cukup kuat dan bersemangat, untuk mengekalkan status kami sebagai salah satu kuasa badminton,” katanya.

Dalam pada itu Mohamad Norza berkata, beliau bersedia untuk memberikan BAM sebarang nasihat, jika mereka mahukannya selepas beliau meletakkan jawatan tidak lama lagi. – Bernama