Sultan Ibrahim Stadium fall
Stadium Sultan Ibrahim. Foto HAZROL ZAINAL,

KUALA LUMPUR – Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menawarkan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri untuk digunakan bagi aksi final Pestabola Merdeka pada Selasa ini.

Tunku Ismail berkata, terpulang kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membuat keputusan dan SSI bersedia untuk digunakan menjelang aksi final antara Malaysia dan Tajikistan.

“FAM kalau nak pakai SSI cakap, saya siapkan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya.

Stadium Nasional, Bukit Jalil yang mendapat padang baharu selepas ditanam rumput Zeon Zoysia menerima kritikan selepas rumput itu tercabut di beberapa bahagian dalam perlawanan Malaysia menentang India, semalam.

Ia sekali gus mengganggu rentak permainan kedua pasukan dan tampak belum bersedia serta memerlukan masa sebelum boleh digunakan.

Pada Jumaat, Tunku Ismail berkenan menyempurnakan perasmian padang baharu Stadium Nasional itu, sehari sebelum perlawanan antara Malaysia dan India berlangsung.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkata, telah memberikan pandangan bahawa padang itu perlu lebih masa sebelum digunakan.

“Semasa majlis penyerahan padang, saya cakap kepada semua yang padang ini perlu lebih masa kerana akar belum kuat.

“Saya juga sampaikan kepada semua yang berada di situ yang padang tersebut akan terkopak esok semasa perlawanan.

This is the proven product. Dah terbukti. Tetapi kena jaga betul-betul.

“Tiada beza. Rumput sama, kontraktor sama. Beza dia di SNBJ tak ada TMJ di situ, itu aja,” katanya. – MalaysiaGazette