RAWANG – Ahli Parlimen Selayang. William Leong tidak berpuas hati dengan perunding projek pembinaan insinerator di Batu Arang didakwa tidak jujur dalam membuat Kajian Impak Sosial (SIA).
Beliau berkata, perunding membuat kajian itu hanya melibatkan dua kawasan perumahan di Bandar Tasik Puteri (BTP) dan tidak mewakili lebih setengah juta penduduk di kawasan berkenaan.
“Kita bincang tadi, ada kelemahan perunding tadi. Apa yang saya dengar, saya tak puas hati dengan cara yang dilakukan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Terdahulu William mengadakan dialog bersama 120 penduduk yang membantah pembinaan insinerator di KRT Ivory 1, BTP.
Pada 26 Ogos lalu, media melaporkan penduduk BTP sedia memfailkan injunksi di mahkamah untuk menghalang projek loji insinerator Batu Arang di sini dilaksanakan.
Jurucakap Jaringan Rawang Tolak Insinerator (RTI), Abdul Hanan Abd Mokti berkata, langkah itu diteruskan sekiranya tiada sebarang tindakan atau campur tangan daripada Kerajaan Selangor.
Dalam pada itu, William akan menggesa kerajaan negeri membenarkan penduduk BTP untuk melantik perunding bebas bagi memastikan SIA dibuat secara telus.
“Lebih baik penduduk diberi hak melantik satu perunding bebas yang tiada pengaruh dengan syarikat konsesi supaya ada pakar boleh beri pendapat mereka dengan bebas.
“Saya akan minta kepada kerajaan perkara ini, memang pelantikan perunding ini adalah mahal, tetapi Kerajaan perlu memberikan satu laporan pihak ketiga.
“Sekarang belum ada lagi, ini cadangan saya, memang kita nak segerakan kerana mereka sudah mula bersuara.
“Siapa yang dilantik, diberikan satu arahan untuk panjangkan perkara ini dalam laporan siasatan mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette