PasRelief akan menggerakkan pelbagai usaha untuk menyalurkan lebih banyak bantuan kepada mangsa perang di Palestin.

KUALA LUMPUR – Sebagai tanda prihatin, PasRelief telah menyalurkan bantuan awal kecemasan bernilai RM100,000 kepada penduduk Palestin yang terkesan dengan insiden serangan sejak Sabtu lalu.

Pengarah PasRelief, Mohd. Yusni Mat Piah berkata, bantuan awal itu meliputi makanan keperluan asas serta bantuan wang tunai yang mana sebahagiannya telah diagih kepada mangsa perang di Palestin.

“Kami difahamkan situasi di Gaza semakin tegang dengan tindak balas rejim Zionis yang semakin mengganas apabila menyasarkan kawasan pendidikan, masjid, kediaman penduduk dan hospital. Lebih dahsyat, bekalan air dan elektrik juga disekat.

“Keadaan getir yang dilalui oleh penduduk Palestin saat ini, tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. PasRelief akan menggerakkan pelbagai usaha untuk menyalurkan lebih banyak bantuan kepada mangsa perang di Palestin,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengarah PasRelief, Mohd. Yusni Mat Piah.

Mengulas lanjut, Mohd. Yusni berkata, PasRelief menyeru seluruh lapisan masyarakat di Malaysia yang mengikuti perkembangan perang Taufan Al-Aqsa untuk terus sama-sama bersolidariti dengan menyumbang ke Tabung Kecemasan Gaza ini.

“Segala bentuk sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Tabung Kemanusiaan PasRelief atau boleh menghubungi hotline PasRelief di talian 017-500 1144,” katanya.

PasRelief merupakan salah satu entiti Pusat Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa Pas yang bertindak sebagai Pusat Koordinasi Bantuan Bencana untuk menerima segala bentuk sumbangan dan bantuan bagi menjayakan misi kemanusiaan di luar negara. – MalaysiaGazette

Antara keperluan asas yang disalurkan PasRelief kepada mangsa perang di Palestin.