KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat hari ini melarang semua 222 Ahli Parlimen untuk memasang peranti bagi tujuan membuat siaran langsung di platform media sosial.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan semua Ahli Parlimen mematuhi Peraturan Mesyuarat 35 (1) yang mana percakapan semua Ahli Parlimen perlu diarahkan kepada pengerusi dewan.
“Sejak kebelakangan ini, telah meningkatnya trend Ahli Parlimen memasang peranti seperti telefon bimbit di meja untuk buat siaran langsung di media sosial semasa ucapan ketika sesi persidangan berlangsung.
“Untuk memastikan Ahli Parlimen mematuhi Peraturan Mesyuarat 35 (1) saya dengan ini menetapkan bahawa Ahli Parlimen tidak lagi dibenarkan untuk memasang sebarang peranti bagi siaran langsung di dalam Dewan Rakyat,” katanya sebelum sesi soalan lisan bermula.
Sebelum ini beberapa Ahli Parlimen antaranya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA- Muar) dan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) sering membuat siaran langsung di platform media sosial menggunakan beberapa buah peranti.
Untuk rekod, Peraturan Mesyuarat 35 (1) mengkehendaki Ahli Parlimen untuk mengarahkan sebarang pengucapan ke pengerusi.
Dalam penerangannya, Johari berkata, tindakan membuat aktiviti siaran langsung di media sosial membuatkan tindakan itu tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan Dewan Rakyat.
“Tindakan beberapa Ahli Parlimen yang membuat ucapan dengan tidak mengarahkan ucapan tersebut kepada pengerusi dan memandang peranti yang dipasang jelas tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat,” katanya.
Tidak puas hati dengan penjelasan Johari, Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) bingkas bangun mempertikaikan keputusan Johari.
“Saya rasa itu alasan yang dipermudahkan semata-mata untuk menghalang Ahli Parlimen menggunakan peranti, jadi saya rasa ini tidak munasabah sekiranya menggunakan Peraturan Mesyuarat 35 (1) sebagai alasan.
“Saya rasa Parlimen ini harus bergerak ke hadapan dan bukan keterbelakang, kegunaan alat peranti harus digalakkan oleh Speaker,” katanya. – MalaysiaGazette