Dua nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka karam ditemui mati lemas di Sungai Kayan, Perak hari ini.

MANJUNG – Dua nelayan yang dilaporkan hilang hampir 24 jam ditemui lemas di perairan Sungai Kayan di sini, hari ini.

Mangsa, Mohd Amirul Azril Mohd Shafiee dan sepupunya, Mohamad Afandy Mamosati masing-masing berusia 34 tahun ditemui berasingan selepas bot yang mereka naiki dipercayai karam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai dua lelaki hilang semasa membawa sampan di Sungai Kayan di sini pada jam 8.20 malam semalam.

Punca kematian kedua-dua mangsa disahkan akibat lemas.

Jelas beliau, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa keluar kira-kira jam 1.30 tengah hari untuk membawa balik sampan milik bapa salah seorang mangsa dari Kampung Sungai Tiram, Sitiawan ke Pengkalan Kota Setia, Kampung Gajah.

“Bagaimanapun, sejam kemudian isteri kepada salah seorang mangsa memaklumkan kepada orang awam untuk mencari suaminya susulan mereka gagal dihubungi.

“Hasil pencarian awal orang awam hanya menjumpai sampan yang dinaiki kedua-dua mangsa namun tiada kelibat kedua-dua lelaki tersebut.

“Susulan itu, pihak polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan komuniti nelayan menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan mangsa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, hasil SAR membawa kepada penemuan mayat mangsa pertama pada jam 8.20 pagi tadi manakala mayat mangsa kedua ditemui jam 12.30 tengah hari.

“Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk proses bedah siasat sebelum mendapati punca kematian disebabkan lemas.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – MalaysiaGazette