Majlis pernikahan yang mudah antara Sabri Yunus dan Angelina Tan di Perlis minggu lalu mencetus kontroversi.

KUALA LUMPUR – Pelakon Sabri Yunus menyifatkan tuduhan seorang pendakwah yang menyatakan pernikahannya dengan Angeline Tan Sabtu lalu sebagai tidak sah adalah tuduhan berat.

Apatah lagi, pernikahannya disempurnakan oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin dan dihadiri oleh hampir 25 saksi.

“Saksi dua orang tak keliru dan 25 hadirin juga tak keliru.. Orang diluar/ jauh dan tidak bersama dalam majlis tidak ada isu dalam penyaksian majlis itu.. dia dengar atau tidak, faham atau tidak bukan isu pengesahan.

“Soal pandangan mazhab dah jelas ada khilaf dan setujunya.. saya tak fikir ada orang tak faham bila qabul jawab saya setuju.. tak mungkin ada orang akan fikir setuju pada hal lain selain dari setuju hal nikah.

“… tak mungkin ada yg fikir dia setuju pasal kereta, pasal rumah.. jelas wali sebut , aku nikah.. bila qabul sebut setuju.. tentu saja menyambut pada kata nikah itu.. yang kata dia keliru itu ada lah orang yg sangat lemah pemikirannya atau yang sengaja melemahkan fikirannya.. pada yang sengaja melemahkan fikiran dia adalah selemah lemah manusia,” katanya dalam hantaran melalui Facebook.

Pelakon veteran itu mengulas dakwaan seorang penceramah yang mendakwa pasangan yang dinikahkan oleh Mohd Asri tidak memenuhi ucapan ijab dan qabul yang sepatutnya.

Ketika akad nikah berlangsung, Sabri mengucapkan dengan ringkas dengan menyebut “saya terima dengan seperti yang disebutkan”.

Penceramah itu pula mendakwa, ijab dan qabul yang tidak menyebut “saya terima nikahnya” adalah tidak sah kerana tidak memenuhi syarat wajib dalam ijab qabul pernikahan.

“Ijab kabul yang berlangsung juga agak sedikit lambat (ucapan Sabri). Ijab qabul itu disyaratkan segera, bersambung. Tidak ada pemisah antara ijab dengan qabul. Tadi agak relatif lambat. Eloknya diulang sekali lagi.

“Kedua, setelah diijab oleh Sahibul Samahah ternyata dengan jawapan daripada si pengantin tadi itu agak janggal bahasanya,

“Saya terima nikahnya dengan mas kahwin yang telah disebutkan tadi..bahasanya cantik sedikit..dalam bahasa Arab, (kena sebut) terima apa? terima duit? kereta? pinjaman? Jadi kena ada sebutan ‘aku terima akad nikahnya dengan mas kahwin yang disebutkan tadi itu’. Itu ok,” katanya.

Tambahnya, pernikahan itu tetap tidak sah biarpun saksi mengatakan ianya sah.

Mengulas lanjut, Sabri meminta agar perkahwinannya tidak dijadikan sebagai mangsa kebencian oleh pendakwah berkenaan yang didakwa tidak sependapat dan sealiran dengan Mohd Asri.

“Dan ada bau permusuhan antara mereka. Dalam video tersebut saya dapat rasakan permusuhan itu apabila ustaz ini mengheret beberapa isu lain yang tiada kena mengena dgn isu kami. Ini menunjukkan beliau cuba mengukuhkan pandangan beliau terhadap jurunikah kami.

“Janganlah kami dijadikan mangsa kebencian tuan kepada seteru tuan,” tegas Sabri.

Lagipun, katanya, dia membaca banyak pandangan ulamak lain tentang isu yang dicetuskan oleh pendakwah berkenaan dan ternyata cukup berbeza dengan pandangannya.

“Jangan letak hukum atas dasar rasa kebencian semata mata. Agamawan tidak harus bersikap begitu. Tidak terselit keikhlasannya. Jujurlah.. antara tidak sah dengan tidak sempurna dua perkara berbeza.

“Sedangkan yg kita rasa tak sempurna itu sempurna pula pada yang lain.. khilaf dan salah dua perkara berbeza. Kalau sama kenapa ada dua sebutan. Saya tidaklah orang agamawan yang mendalami akan hukum hakam tetapi tidaklah terlalu jahil sehingga tidak tahu apa apa. Saya juga tahu memilih. Memilih bermakna tidak borong semua dari satu bakul,” ujarnya cukup bermakna. – MalaysiaGazette