SUBANG – Skuad Harimau Malaya cergas 100 peratus tanpa dilanda ada pemain mengalami kecederaan untuk menghadapi pasukan Tajikistan dalam final Piala Pestabola Merdeka 2023 malam esok.
Pengurusnya, Kim Pan Gon bagaimanapun menjangkakan aksi menentang Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 9 malam itu akan sengit untuk anak buahnya walaupun turun dengan kelebihan sebagai tuan rumah dan sokongan rakyat Malaysia.
Katanya, aksi menang bertemu India pada separuh akhir malam Jumaat lalu bukti pasukannya beraksi dengan baik daripada segi taktikal dan berjaya mendominasi perlawanan di separuh masa pertama dengan corak permainan high pressing.
“Inilah taktikal high pressing sambil dominasi bola yang saya sedang terapkan kepada pemain dalam skuad saya manakala kami juga tidak menunggu pasukan lawan membuat kesilapan sebaliknya kami memaksa mereka membuat kesilapan atas padang sebelum menyerang untuk membuka jaringan.
“Inilah corak permainan yang diterapkan dan akan diteruskan menjelang perlawanan menentang Tajikistan malam esok.
“Pada masa yang sama juga peluang terbaik untuk skuad saya menebus kekalahan selepas ditewaskan menerusi penalti oleh pasukan rangking 110 dunia itu semasa final Piala Raja Thailand pada 25 September 2022 di Bangkok,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan di sini hari ini.
Pan Gon juga yakin cuaca serta persekitaran padang akan lebih baik esok dan memihak kepada mereka untuk beraksi dengan mantap semasa final esok.
Beliau juga menambah skuadnya banyak memperbaiki permainan setelah berdepan dengan pasukan-pasukan 100 terbaik dunia antaranya China, India dan sebagainya.
Menurutnya, mengutip mata dengan skuad 100 terkuat dunia dan rangking lebih baik berbanding Harimau Malaya (134) adalah satu keputusan yang mencabar.
“Menewaskan India pada aksi separuh akhir memberi semangat kepada pasukan untuk menghadapi skuad yang pernah menewaskan kami (Tajikistan) kali ini.
“Kita turun dengan misi menang menjelang final esok, lagi pun skuad saya sekarang sangat cergas dan stabil dari segi taktikal di atas padang dan lebih berkeyakinan tinggi kali ini.
“Saya juga mahu melihat penyokong tegar Harimau Malaya khususnya rakyat Malaysia turun beramai-ramai penuhkan stadium dan sokong skuad kita yang pasti akan menghiburkan sekali lagi,” tegasnya.- MalaysiaGazette