MYAirline
Pengarah dan Eksekutif Bertanggungjawab interim untuk MYAirline Sdn Bhd, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat MYAirline, Subang Jaya. Foto MUHD NA’IM, 16 OKTOBER 2023.

SUBANG JAYA – MYAirline yakin proses rundingan dengan bakal pelabur baharu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat sekali gus dapat menyelesaikan kemelut yang dihadapi syarikat penerbangan tambang murah itu secepat mungkin.

Pengarah merangkap Eksekutif Bertanggungjawab MYAirline, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman juga positif bahawa syarikatnya tidak akan gulung tikar.

“Kami tidak boleh mendedahkan siapa bakal pelabur yang berminat itu kerana masih berunding dengan mereka.

“Kami juga berharap rundingan itu akan berhasil,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat MYAirline di sini, hari ini.

Khamis lalu, MYAirline mengumumkan penggantungan operasi sementara ekoran tekanan kewangan yang dihadapinya.

Tindakan itu menyebabkan kira-kira 125,000 penumpang yang telah menempah tiket lebih awal terjejas.

Berhubung bayaran balik kepada kesemua penumpang terbabit, Azharuddin menjelaskan, ia akan dilakukan secepat mungkin selepas dana diterima daripada pelabur baharu.

Secara keseluruhan, beliau memberitahu, ia melibatkan dana antara RM20 juta sehingga RM22 juta.

Azharuddin menambah, MYAirline telah berunding dengan pemberi pajak supaya memberi lanjutan masa untuk membayar pajakan sembilan pesawat.

Beliau turut mengesahkan bahawa MYAirline masih belum menerima surat rasmi daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) berhubung penggantungan lesen penerbangannya.

Azharuddin berkata, setakat ini, MYAirline masih mengekalkan lebih 900 pekerjanya dan keutamaan akan diberi untuk membayar gaji mereka sebaik sahaja pelabur baharu mengambil alih.

“Kami telah bertemu dengan Kementerian Sumber Manusia untuk memberi maklumat terkini tentang perkara ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette