Nurul Diyana Mohd Shukri

KUANTAN – Mangsa pemerdagangan manusia, Muhammad Izzat Abdul Wahab hanya dibelikan tiket penerbangan sehala oleh sindiket penipuan pekerjaan luar negara.

Ia seolah-olah menggambarkan yang mangsa tidak akan kembali semula, kata isteri mangsa, Nurul Diyana Mohd Shukri.

Wanita berusia 27 tahun itu berkata, suaminya berkeras untuk menunaikan tawaran pekerjaan selama tiga hari di Bangkok, Thailand pada 7 Oktober lalu demi menambahkan pendapatan keluarga.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Hamid Nazahar menziarahi Diyana sekeluarga susulan mengetahui kes penipuan pekerjaan luar negara yang menimpa keluarga mangsa di Kuantan hari ini.

”Arwah suami dibelikan tiket flight kelas bisnes perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur, kemudiannya dari Kuala Lumpur pula kelas ekonomi.

”Walaupun terlepas penerbangan, pihak sindiket tetap menggantikan tiket penerbangan baharu ketika transit dalam perjalananan ke Bangkok.

”Namun terkejut hanya tahu berita suami meninggal dunia selepas menjadi tahanan Imigresen di Myanmar melalui jalan darat,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Diyana berkata kali terakhir dapat berhubung dengan suaminya yang berusia 28 tahun di Bangkok pada 11 Oktober lalu dan terputus hubungan selepas itu.

Susulan itu beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) daerah Kuantan pada keesokan harinya iaitu 12 Oktober 2023.

Beliau dimaklumkan kematian suaminya melalui sebuah pertubuhan kemanusiaan oleh ahli keluarga yang melaporkan Izat meninggal dunia dalam tempoh dua hari menjadi tahanan imigresen di Myanmar.

Diyana berkata, permegian arwah megejutkan seluruh ahli keluarga dan menyifatkan arwah seorang suami yang sangat bertanggungjawab dan sentiasa berusaha mencari rezeki dengan  pelbagai cara.

”Laporan perubatan di Myanmar, mangsa disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung namun beliau tidak ada sebarang penyakit dan sihat sebelum ini.

”Arwah buat kerja macam-macam bagi menampung keluarga kami, dia sihat walafiat dan mampu buat kerja berat seperti bawa lori, ambil upah potong rumput dan perkhidmatan bekam.

”Arwah tak pernah putus asa dalam cari duit untuk keluarga, baru-baru ini beliau sempat membelikan sebuah kereta untuk dijadikan projek kereta sewa,” tambahnya.

Allayrharham Izzat merupakan anak bongsu daripada lapan beradik meninggalkan seorang balu dan dua anak lelaki berusia enam dan empat tahun.

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan seorang rakyat Malaysia maut dalam tahanan Imigresen di  Myanmar selepas berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa pemerdangan manusia menerusi sindiket pekerjaan palsu.

Izat disahkan meninggalkan dunia pada 14 Oktober 2023 di Pusat Imigresen Tachileik di Myanmar.

Mangsa dipercayai berjaya diselamatkan oleh Azizul Syafik, wakil pertubuhan Malaysia International Humanitarian Organisation (MHO) di sebuah hotel di Myanmar dengan bantuan rakyat Malaysia di negara berkenaan.

Proses tuntutan jenazah akan dilakukan oleh ahli keluarga dan jenazah akan mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Yangon, Myanmar selepas dokumentasi selesai. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Rakyat Malaysia maut dalam tahanan imigresen Myanmar