Yayasan JCorp turut mewujudkan Coral Nursery yang melibatkan penjagaan dan pembiakan spesies terumbu karang tertentu menggunakan kaedah beretika bagi memastikan kelestarian terhadap alam sekitar.

JOHOR BAHRU – Yayasan JCorp julung-julung kalinya menganjurkan program rehabilitasi terumbu karang dengan melibatkan anggota pekerjanya seramai 40 orang termasuk JCorp dan Syarikat Kumpulan di Pulau Aur, Mersing pada 13 hingga 15 Oktober 2023.

Ketua Yayasan JCorp, Zaidatul Zurita Abdul Rahman berkata, menerusi program itu,  pihaknya mewujudkan coral nursery yang melibatkan penjagaan dan pembiakan spesies terumbu karang menggunakan kaedah beretika bagi memastikan kelestarian alam sekitar.

Selain itu, pihaknya juga memberi kesedaran dan pendidikan kepada komuniti setempat tentang kepentingan pemuliharaan terumbu karang dan sumber marin.

Aktiviti sebegini adalah sebagai usaha Yayasan JCorp dalam memperkasa bidang fokus alam sekitar bagi mendidik dan memupuk kesedaran orang ramai berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar termasuk hidupan di laut.

Yayasan JCorp telah melaksanakan beberapa program berkaitan kelestarian alam sekitar pada tahun ini seperti penanaman pokok bakau di Tanjung Piai, Pontian dan pembersihan sungai di Kampung Sungai Melayu dan Kampung Pendas, Johor Bahru.

“Pemeliharaan terumbu karang merupakan aktiviti ketiga yang dijayakan bagi bidang fokus alam sekitar Yayasan JCorp bagi tahun ini dan disertai oleh anggota pekerja JCorp dan syarikat kumpulannya.

Akmal Ahmad beramah mesra bersama penerima sumbangan di Pulau Aur baru-baru ini.

“Inisiatif ini juga sebagai satu sokongan kepada usaha Kerajaan Negeri untuk melindungi kawasan terumbu karang di Taman Laut di perairan Johor supaya tidak mengalami kepupusan selain memberi nilai tambah kepada industri pelancongan di pulau- pulau daerah Mersing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Program ini juga disertai oleh Kelab Media Johor seramai lima orang dan Yayasan JCorp sangat mengalu-alukan kehadiran kelab media dan berharap kolaborasi sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang.

Bersempena program ini juga, Yayasan JCorp mengambil peluang mengadakan aktiviti komuniti bersama penduduk di Pulau Aur tersebut.

Antara aktiviti yang dijayakan ialah pembersihan kawasan pantai dan tanah perkuburan, acara memasak secara rewang dan sumbangan berupa wang tunai kepada 38 keluarga di pulau tersebut.

Program gotong-royong bersama penduduk pulau ini merupakan satu daripada aktiviti komuniti di bawah bidang fokus Kesejahteraan Komuniti Yayasan JCorp.

Menerusi aktiviti ini secara tidak langsung merapatkan hubungan ukhwah antara anggota pekerja dengan masyarakat setempat.

Sebagai ejen pelaksana tanggungjawab Korporat Kumpulan JCorp, Yayasan JCorp sentiasa komited mengadakan pelbagai aktiviti dan inisiatif berkaitan empat bidang fokus utamanya iaitu Pendidikan; Seni, Budaya dan Warisan; Alam Sekitar dan Kesejahteraan Komuniti.- MalaysiaGazette