Bung Mokhtar Radin. Foto MUHD NA’IM, 13 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Tindakan kafir-mengkafir kepada ahli-ahli Parlimen bukan Islam khususnya DAP semasa persidangan Dewan Rakyat yang berlarutan sejak semalam perlu dihentikan segera.

Ahli Parlimen (UMNO-Kinabatangan), Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ia bertujuan untuk menjaga keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

“Jangan mencetuskan provokasi perkauman, lebih-lebih lagi keagamaan. Ini akan menghiris hati saudara-saudara kita yang lain, perkataan kafir-mengkafir ini kita berhentikan di sini.

“Saya sebenarnya tidak mendalami Islam banyak, tetapi dalam al-Quran Allah berfirman mafhumnya, bagi kamu agama kamu, bagiku agamaku.

“Kenapa mengkafirkan orang lain, keharmonian ini perlu kita jaga untuk kepentingan kita bersama sebab kita adalah antara 222 Ahli Parlimen yang telah dipilih oleh rakyat.

“Dengan kehendak Allah SWT kita berada dalam dewan ini, maka kita bersidang dengan cara yang baik,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2024, di Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Dewan Rakyat hari ini kembali kecoh apabila Ahli Parlimen (DAP-Jelutong), RSN Rayer mendesak Timbalan Speaker, Datuk Ramli Mohd Noor menghalang perkataan ‘Kafir’ digunakan Ahli Parlimen Pas semasa persidangan.

Rayer berkata, tindakan Ahli Parlimen (Pas-Pengkalan Chepa), Datuk Ahmad Marzuk Shaary yang menggelarkan beliau dan Ahli Parlimen (DAP-Ipoh-Timor), Lee Chuan How semasa sidang Dewan Rakyat, sejak Selasa.

Semalam, media melaporkan Ahmad Marzuk didakwa menyebut ‘DAP kafir’ mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat.

Rayer menyifatkan kenyataan daripada wakil rakyat Pas itu sebagai kurang sopan dan biadab kerana DAP juga dianggotai oleh ahli Parlimen yang beragama Islam. – MalaysiaGazette