Hussein Omar Khan.

GOMBAK – Polis selesai mengambil keterangan kesemua inividu yang terlibat dalam insiden kes tampar bekas teman wanita di dalam sebuah kereta pada Isnin lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, semakan mendapati kejadian itu berlaku di dalam sebuah univervisiti di daerah Gombak.

“Kita telah mengambil keterangan semua yang terlibat dan tunggu keputusan pendakwa raya untuk sebarang pertuduhan.

“Lelaki terbabit tidak ditahan kerana siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, di sini, hari ini.

Hussein berkata, pengadu yang juga mangsa telah mendapatkan rawatan kerana mengalami kecederaan ringan akibat daripada kejadian itu.

Sejak Isnin lalu, tular video berdurasi 22 saat di laman sosial memaparkan seorang lelaki bertindak menampar bekas teman wanitanya di dalam sebuah kereta.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superitenden Noor Ariffin Mohamad Nasir dalam kenyataan berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham.

“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati kejadian itu berlaku jam 6.30 petang, Gombak pada Isnin.

“Pengadu seorang wanita berusia 21 tahun mendakwa telah ditampar bekas teman lelakinya berusia 22 tahun, akibat perselisihan faham,” jelasnya. – MalaysiaGazette