ayam dedak telur
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengumumkan tarikh pelaksanaan pengapungan harga ayam dan telur pada 30 Oktober ini, kata Datuk Seri Mohamad Sabu hari ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, keputusan tersebut akan diumumkan menerusi satu sidang media yang akan disertai oleh beberapa kementerian antaranya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Insya-Allah waktu dan tempat pengumuman itu akan diberitahu kemudian,” katanya dalam sidang media di sini.

Diminta mengulas mengenai kadar penentuan harga untuk kedua-dua sumber makanan protein itu, beliau menambah, perkara itu sedang dibincangkan termasuk dengan pihak industri yang membekalkan telur dan juga ayam.

“Perbincangan sedang berjalan dan pihak Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sedang memainkan peranan untuk mengadakan pertemuan bersama semua pemain industri ayam dan telur agar harga yang ditetapkan kelak dalam berada dalam keadaan baik tanpa kenaikan mendadak.

“Namun, sama ada ia (pengapungan harga) berjangka panjang atau pendek ia bergantung kepada keadaan pasaran.

“Kalau bolehnya biarlah pasaran menentukan harga tapi kita tidak boleh memberi jaminan sampai bila (pengapungan harga) sebab kita juga tidak tahu suasana dunia yang sedang menghadapi perubahan iklim yang begitu ketara,” tambahnya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri  Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan sedang menimbang untuk mengapungkan harga telur dan ayam tidak lama lagi.

Katanya, langkah itu dibuat selepas kerajaan mendapati bekalan kedua-dua sumber makanan itu kini stabil.

Anwar yang juga menteri kewangan menegaskan pelaksanaan tersebut membolehkan pasaran tempatan berfungsi semula dengan bebas dalam memastikan keterjaminan bekalan ayam dan telur di pasaran.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast