Dua suspek lelaki dan seorang wanita diiringi polis ketika hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan kes pengubahan wang haram berjumlah RM 205,636.32 dalam kes penculikan warganegara Palestin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM,20 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Tiga daripada 11 individu yang sebelum ini didakwa menculik lelaki Palestin dihadapkan di Mahkamah Sesyen atas dakwaan berkaitan pengubahan wang haram berjumlah lebih kurang RM200,000.

Salah seorang daripadanya wanita yang merupakan bekas penyiasat persendirian.

Nidarahayu Zainal berhadapan dengan 17 pertuduhan berkaitan melupus dan memindahkan wang hasil aktiviti haram.

Berdasarkan pertuduhan, wanita berusia 35 tahun itu melakukan kesalahan tersebut antara 15 September hingga 3 Oktober 2022.

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Sekiranya didapati bersalah beliau akan dipenjara tidak melebihi 15  tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan kepadanya di Mahkamah Sesyen hari ini.

Turut dituduh di mahkamah yang sama suaminya, Raibafie Amdan, 40.

Dua suspek lelaki dan seorang wanita diiringi polis ketika hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan kes pengubahan wang haram berjumlah RM 205,636.32 dalam kes penculikan warganegara Palestin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM,20 OKTOBER 2023.

Lelaki itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan  menerima RM30,350 daripada akaun Nidarahayu yang merupakan hasil daripada aktiviti haram pada 29 September tahun lalu.

Selain itu, rakan suaminya iaitu Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid juga dituduh menerima hasil aktiviti wang haram daripada Nidarahayu sebanyak RM25,000 pada tarikh yang sama.

Hakim, Mihd Kafli Che Ali kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM60,000 bagi semua pertuduhan untuk Nidarahayu.

Manakala dua lelaki berkenaan masing-masing diperintah membayar jaminan sebanyak RM20,000.

Kes berkenaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rozaliana Zakaria dan Nurul Wahida Jamaluddin.

Kesemua tertuduh diperintah untuk menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melaporkan diri ke balai polis berdekatan sekali sebulan.

Sebagai rekod, ketiga-tiga individu dituduh hari ini antara 11 yang  dituduh di Mahkamah Tinggi kerana menculik lelaki Palestin bagi mendapatkan maklumat rahsia berkaitan penggodaman telefon bimbit pada September tahun lalu.-MalaysiaGazette