Majlis bacaan tahli dan Yaasin diadakan di Surau Malaysia Yongon, di Myanmar hari ini

YANGON – Kedutaan Malaysia di Myanmar mengadakan bacaan tahlil dan Yaasin buat Allahyarham Muhammad Izzat Abdul Wahab bersama warganya serta rombongan keluarga arwah hari ini.

Atase Pertahanan Kedutaan Malaysia di Myanmar, Kolonel Abdul Razak Harun berkata, bacaan tahlil itu diadakan selepas solat Jumaat di sini.

“Insya-Allah pihak kedutaan berusaha membantu sedaya upaya bagi pengurusan jenazah arwah.

“Kami di kedutaan turut berasa sedih dengan apa yang berlaku. Kami pun terima seadanya apa menimpa arwah.

“Semoga arwah dirahmati dan dipermudah urusan jenzahnya untuk dibawa pulang,” katanya selepas bacaan tahlil dan Yaasin di Kedutaan Malaysia, di sini, hari ini.

Menurutnya, jenazah dijangka tiba di Yangon pada malam ini berikutan proses membawa ke sini memakan masa disebabkan pelaksanaan perintah berkurung pada jam 12 tengah malam.

“Kita masih menunggu jenazah tetapi di Myanmar ini agak sukar kerana perintah berkurung dari tengah malam sehingga jam 4 pagi nanti.

“Jenazah sampai sini nanti berkemungkinan proses bedah siasat dilakukan pada Isnin nanti kerana Sabtu, Ahad hari cuti di sini,” katanya.

Allahyarham Muhammad Izzat, 28, berasal dari Peramu, Kuantan maut dalam tahanan imigresen Myanmar selepas berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia oleh wakil sebuah pertubuhan kemanusian pada 14 Oktober lalu.

Arwah merupakan anak bongsu daripada lapan beradik meninggalkan seorang balu, Nurul Diyana Mohd Shukri, 27, dan dua anak lelaki berusia enam dan empat tahun. – MalaysiaGazette