Mohamed Khaled Nordin bergambar bersama pengamal media Johor. Foto FB Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

JOHOR BAHRU – Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan dibina di Sedili, Kota Tinggi, dengan jangkaan siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, proses bagi kerja-kerja reka bentuk hospital berkenaan akan bermula tahun depan.

“Hospital ini dijangka siap dalam tempoh lima tahun dengan melibatkan dua fasa pembinaan.

“Bagaimanapun, jangkaan bila ia akan dibina hanya akan diketahui setelah kerja-kerja bagi reka bentuk dimulakan pada tahun depan,” katanya ketika mengulas mengenai pembinaan hospital itu yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Libat Urus Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Bersama Media Zon Selatan di sini malam tadi.

Turut hadir, Presiden Kelab Media Johor Mohamad Fauzi Ishak.

Mohamed Khaled berkata pembinaan hospital dengan kos bagi fasa satu sebanyak RM938 juta itu, sekali gus melengkapkan ekosistem pengajian perubatan di semua universiti awam negara, dengan kesemua fakulti perubatan sudah mempunyai hospital pengajar sendiri.

Menurutnya pembinaan itu turut memberi ruang kepada pelajar fakulti perubatan, khususnya USIM mendapat latihan lebih baik, sistematik dan mempunyai lebih banyak peluang untuk melanjutkan pengajian sebagai doktor pakar.

Sementara itu, Mohamed Khaled ketika berucap berkata pengamal media perlu terus berperanan menjadi instrumen yang mengajak masyarakat berfikir dan berusaha menjadi lebih baik.

“Bukannya (mengajak masyarakat) menjadi orang yang emosional, rasis, taasub atau suka mengadu domba. Kita mesti bersama-sama mengasuh masyarakat untuk meninggalkan perkara sedemikian,” katanya.

Beliau berkata KPT dan pengamal media juga harus sentiasa bekerjasama dan mengelakkan daripada bersifat politikal, sekali gus menggunakan kuasa, pengaruh serta ruang yang dimiliki untuk dimanfaatkan masyarakat.

“Bagi saya, perkara paling menakutkan apabila kementerian ini dan semua pengamal media gagal mengajak serta mengasuh masyarakat kita untuk berfikir dan bertindak dengan baik.

“Jadi, kita mesti terus bekerjasama dengan strategik, profesional dan saling menyokong,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast