Onn Hafiz mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Johor.

JOHOR BAHRU – Johor mencatatkan 2,616 kes penipuan jenayah komersial dengan kerugian berjumlah RM166.3 juta dalam tempoh antara Januari hingga September lalu.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia merupakan kes penipuan tertinggi di negeri itu.

Katanya, antara kes penipuan itu melibatkan pinjaman dan pelaburan tidak wujud, penipuan panggilan, tawaran kerja, belian dalam talian dan menyamar sebagai kenalan.

“Semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Johor Bil. 2 (JKKN) Tahun 2023, saya telah menegaskan perlunya penyelesaian dan langkah tuntas diambil bagi menangani isu penipuan yang semakin berleluasa.

“Saya juga menyeru seluruh Bangsa Johor, agar lebih berhati-hati dengan jenayah penipuan ini, dan saling mengingatkan sesama kita agar tidak mudah dimanipulasi,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut Onn Hafiz, selain itu kerajaan negeri turut yakin dengan kredibiliti dan langkah-langkah yang telah disusun oleh agensi-agensi keselamatan dalam memastikan keamanan dan sebarang ancaman daripada darat, laut dan udara Johor sentiasa terkawal. – MalaysiaGazette