Dua buah kapal jenis Very Large Crude Carrier (VLCC) yang berdaftar di Panama dan Honduras ditahan selepas disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram yang telah ditahan pihak berkuasa.

KOTA TINGGI – Dua buah kapal jenis Very Large Crude Carrier (VLCC) berdaftar di Panama dan Honduras ditahan selepas disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram di perairan Johor Timur di sini petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, dua kapal terbabit telah dikesan oleh bot peronda Maritim Malaysia melakukan aktiviti ship to ship (STS) di kedudukan 32.1 batu nautika timur Tanjung Sedili pada pukul 12.35 tengah hari.

Katanya, kedua-dua buah kapal VLCC tersebut juga enggan memberikan kerjasama bagi diperiksa sehingga memaksa pihak Maritim Negeri Johor meminta bantuan dari Bahagian Operasi Udara dan Pasukan Khas Tindakan (PTK) bagi melakukan force boarding.

Menurutnya, pihaknya menggunakan pesawat udara AS 365 Dauphin milik Maritim Malaysia bersama tiga anggota PTK sebelum berjaya menahan kedua-dua kapal tersebut.

“Kedua-dua kapal terlibat yang didaftarkan dari Panama dan Honduras itu berjaya ditahan pukul 6.00 petang. Kapal tangki pertama yang berdaftar dari Panama dikendalikan oleh 26 orang kru berumur diantara 23 hingga 54 tahun manakala kapal tangki kedua yang berdaftar dari Honduras dikendalikan oleh 26 orang kru berumur di antara 21 hingga 51 tahun.

“Hasil siasatan mendapati nakhoda kapal terbabit telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran atas aktiviti yang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 bagi kesalahan melakukan aktiviti kapal ke kapal (STS) tanpa kebenaran dan Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast