Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum memanggil bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berhubung projek percetakan buku J-Qaf untuk prasekolah bernilai kira-kira RM80 juta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan perkara itu memberitahu, siasatan bagi kes tersebut masih berjalan.

“Kita (SPRM) belum panggil (Dr Radzi) lagi. Siasatan masih dijalankan.

“Saya serahkan kepada pegawai penyiasat untuk jalankan siasatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan International Anti-Bribery Anti-Corruption Summit 2023 (ABAC) di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ABAC Center of Excellence Sdn Bhd dan Kumpulan CRI, Zafar Anjum dan Presiden Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (Pakar), Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM menahan dua individu termasuk bekas setiausaha politik Ahli Parlimen Putrajaya bagi membantu siasatan berhubung projek berkenaan.

Sumber dilaporkan berkata, suspek pertama berusia lingkungan 20an yang juga bekas setiausaha politik manakala, suspek kedua ialah pemilik syarikat berusia lewat 50-an.

Katanya, mereka dipercayai bersubahat dengan bekas menteri kanan itu meminta dan menerima rasuah melalui syarikat suspek kedua daripada kontraktor sebagai balasan meluluskan projek percetakan buku secara rundingan terus.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Dalam pada itu, ditanya sama ada SPRM terbabit dalam siasatan kes pengubahan wang haram membabitkan pengasas bersama dan pemegang saham sebuah syarikat penerbangan, Azam berkata, pihaknya tidak terbabit setakat ini.

“Ia adalah tindakan daripada pihak polis. Siasatan bukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah 2009,” katanya.

Pengasas bersama dan pemegang saham sebuah syarikat penerbangan bergelar Datuk bersama isteri dan anak lelaki ditahan polis bagi siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Semalam, seorang lagi individu iaitu pemegang saham i-serve ditahan polis selepas disyaki terbabit kes sama.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, setakat ini 12 kenderaan daripada dua suspek, dokumen berkaitan syarikat, barang kemas (10), beg tangan mewah (lapan), jam tangan mewah (enam), komputer riba (dua) dan satu CPU sudah dirampas. – MalaysiaGazette