Seorang rentung manakala dua anggota polis parah dalam kemalangan di Parit Kongsi, Parit Jawa, Muar hari ini.

MUAR – Seorang rentung manakala dua anggota polis parah selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Benteng, Parit Kongsi 4, Parit Jawa di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian berlaku pukul 4 pagi semasa dua anggota polis berkenaan menaiki kereta peronda polis menahan suspek yang memandu kereta Toyota Vios untuk pemeriksaan.

Setelah menyedari kehadiran polis, suspek telah melarikan diri dan terus memecut laju ke arah Parit Jamil. Kereta peronda polis membunyikan siren dan memberi isyarat supaya memberhentikan kenderaan.

“Bagaimanapun suspek enggan berbuat demikian untuk mengelak daripada ditahan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semasa pihak polis mengejar suspek sejauh kira-kira 1 kilometer, kedua-dua kenderaan telah terbabas dan masuk ke dalam parit di jalan berkenaan.

Menurut beliau, kereta suspek terbakar sehingga menyebabkan kematiannya manakala dua anggota polis berkenaan cedera parah dan dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.

“Dua anggota polis berkenaan yang berpangkat koperal berusia 40 dan 42 tahun manakala identiti suspek belum diperoleh dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sedang dilakukan untuk mengenal pasti identitinya,” ujarnya.

Tambahnya, kertas siasatan sudah dibuka dan kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Polis meminta orang ramai yang melihat kejadian tersebut atau mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan. – MalaysiaGazzete

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast