Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Sepasang suami isteri dtahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor kerana dipercayai menerima rasuah bagi membolehkan calon lulus ujian berkomputer lesen memandu.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias berkata, suspek merupakan seorang pengurus pentadbiran dan seorang pengurus pemasaran sebuah pusat lesen memandu itu ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira jam 7 petang semalam bagi membantu siasatan.

Tambah sumber, suspek lelaki dan wanita masing-masing berusia 47 dan 43 tahun itu ditahan susulan penahanan tiga lagi suspek kerana menerima rasuah daripada calon ujian bahagian berkomputer lesen memandu pada Ahad lalu.

Difahamkan, nilai sogokan antara RM400 hingga RM1,000 dibayar individu yang mahu lulus ujian memandu tanpa perlu menduduki ujian dan menghadiri kelas memandu.

Beliau yang mengesahkan penahanan terbabit menerusi kenyataan media  berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Azmi turut mengingatkan setiap calon wajib menduduki ujian yang mana telah ditetapkan sebagai satu syarat untuk  mendapatkan lesen memandu dan   mempelajari serta memahami peraturan dan undang-undang jalan raya bagi menjadikan kita masyarakat yang berilmu ketika di jalan raya.

Pihak syarikat yang  mengendalikan ujian berkomputer juga perlu memastikan bahawa setiap calon yang menduduki ujian tersebut hadir dan tidak diwakili mana-mana individu lain dan tiada jalan pintas dalam mendapatkan lesen memandu ini kerana ianya melibatkan  nyawa pengguna jalan raya lain. – MalaysiaGazette