SELANGOR – Seramai 200 sukarelawan dari Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bersama pemimpin masyarakat menyertai aktiviti gotong-royong di sebuah taman rekreasi popular di Hutan Lipur Sungai Tua sempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara, baru-baru ini.
Lebih dari 25 beg sampah besar dikumpulkan semasa gotong-royong di Taman Rekreasi Hutlista 2 selama dua jam.
Taman rekreasi tersebut juga merupakan sebahagian daripada Taman Warisan Negeri Selangor.
Aktiviti ini dianjurkan selaras dengan pelancaran program ‘#Sungai Kita, Bersama Kita Pelihara’.
Program ini merupakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dilaksanakan bersama Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), pemilik projek ECRL, dan syarikat China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL), kontraktor utama projek ECRL.
Program ‘#Sungai Kita, Bersama Kita Pelihara’ adalah hasil kerjasama antara Projek ECRL dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, yang bertujuan untuk menyokong usaha pemeliharaan sungai.
Program ini turut dirasmikan oleh Pengarah JAS Selangor Nor Aziah Jaafar.
Ketua Pegawai Eksekutif MRL Dato’ Sri Darwis Abdul Razak berkata inisiatif CSR ‘#Sungai Kita, Bersama Kita Pelihara’ akan memupuk sikap bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan meningkatkan amalan hijau dalam kalangan pengunjung taman rekreasi.
Beliau juga menekankan bahawa pembinaan jajaran ECRL menitikberatkan aspek perlindungan terhadap alam sekitar, hutan dan hidupan liar. – MalaysiaGazette