Akmal Nasrullah Mohd Nasir
Akmal Nasrullah Mohd Nasir

KUALA LUMPUR – Ekonomi negara bertambah baik secara keseluruhan walaupun berlaku penyusutan nilai ringgit berbanding mata wang asing khususnya dolar Amerika Syarikat (AS).

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, penilaian juga boleh dibuat melalui indikasi-indikasi ekonomi yang lain seperti kadar inflasi dan pengangguran.

“Kita tengok kadar inflasi ketika ini adalah rendah dan kita tengok juga dari segi kadar pengangguran sebenarnya menurun berbanding tahun lepas.

“Memang berlaku penambahbaikan dari segi keadaan ekonomi itu,” katanya dalam sesi soal jawab lisan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Kementerian Ekonomi menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai usaha kerajaan menangani kesan penyusutan nilai ringgit terhadap harga barang.

Akmal Nasir mengakui bahawa memang terdapat kesan terhadap harga barangan yang diimport dan kerajaan telah mengambil langkah-langkah untuk menanganinya.

Sebagai perbandingan, beliau memberi contoh harga ayam yang menunjukkan peningkatan inflasi 5.7 peratus pada Ogos lalu tetapi menurun sebanyak 0.9 peratus sebulan kemudian.

“Sememangnya bahawa dari segi harga itu semakin stabil dan bagi rakyat itu merupakan kebimbangan.

“Tetapi kerajaan sememangnya mengambil pendekatan yang lebih konsisten dalam menjamin harga barang itu,” jelasnya. – MalaysiaGazette