PUTRAJAYA – Penubuhan satu agensi tunggal atau Single Border Agency (SBA) yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga sempadan negara akan dimuktamadkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan jemaah menteri dalam masa terdekat ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meminta seluruh warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya bersiap sedia dengan segala keputusan yang akan dibuat kerajaan berhubung penubuhan SBA.
“(Penubuhan agensi) akan dibincangkan dalam masa terdekat. Saya minta warga KDN siap-siaga.
“Kepentingan keselamatan adalah sangat besar dalam aspek kawalan sempadan dan pintu masuk bagi mana-mana negara di dunia ini,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri sambutan ulang tahun ke 75 Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), hari ini.
Hadir sama adalah timbalannya, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi dan Ketua Pengarah JPN, Zamri Misman.
Baru-baru ini, Anwar berkata, penubuhan agensi itu sebahagian daripada inisiatif memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara.
Katanya, sejumlah RM19.7 bilion diperuntuk buat Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam Belanjawan 2024, meningkat berbanding RM2 bilion pada belanjawan lalu. – MalaysiaGazette