Amir Hamzah (dua dari kiri) selepas majlis perasmian reruai Kolej UNITI Port Dickson dan UNITI Halal Centre di Ekspo Halal Indonesia 2023 yang berlangsung Jakarta Convention Centre bermula 25 hingga 29 Oktober di Port Dicksoni hari ini.

KUALA LUMPUR – Kolej UNITI Port Dickson akan memperkenalkan program pengajian jangka pendek berkaitan halal kepada pelajar antarabangsa khususnya dari Indonesia bermula pada tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa berkata, program pengajian di bawah inisiatif mobiliti/edutourism itu bukan sahaja akan membantu kerajaan meningkatkan jumlah kemasukan pelajar antarabangsa ke Malaysia tetapi juga mengembangkan potensi halal dalam kalangan industri tempatan.

Tambahnya, program yang bakal dijenamakan sebagai Halal Edutourism itu akan memberi peluang kepada pelajar antarabangsa untuk merasai pengalaman belajar di Kolej UNITI Port Dickson.

Pada masa yang sama, mereka juga akan mendapatkan pemahaman langsung mengenai ekosistem pensijilan halal yang dijalankan di Malaysia.

“Selain berkunjung ke lokasi pelancongan menarik, kami juga merancang membawa pelajar terbabit ke restoran-restoran halal popular dan menginap di hotel yang mempunyai pensijilan halal.

“Melalui pendekatan seperti ini, mereka akan melihat bagaimana dan sejauh mana sistem pensijilan halal di Malaysia dipraktikkan secara menyeluruh iaitu bukan sahaja melibatkan makanan dan minuman semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian reruai Kolej UNITI Port Dickson dan UNITI Halal Centre di Ekspo Halal Indonesia 2023 yang berlangsung Jakarta Convention Centre bermula 25 hingga 29 Oktober di sini hari ini.

Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Atase Pendidikan, Education Malaysia (EM) Indonesia, Zulfadhli Hamzah.

Jelas Amir Hamzah, program Halal Edutourism tersebut akan dilaksanakan oleh pasukan Pusat Kecemerlangan Halal UNITI atau dikenali UNITI Halal Centre (UHAC) yang terdiri daripada pakar-pakar pensijilan halal negara.

“Kolej UNITI Port Dickson yang terletak di Tanjung Agas, Port Dickson, Negeri Sembilan merupakan IPT pertama di negara ini yang menawarkan program pengajian Diploma Pengurusan Industri Halal iaitu pada 2013, sebelum mana-mana IPT awam dan IPTS lain menawarkan program seumpama di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda.

“Kolej UNITI Port Dickson juga sejak tahun 2017 telah diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai Penyedia Latihan Halal yang mendapat perakuan Majlis Halal Malaysia. Melalui UHAC, kami aktif menawarkan kursus pensijilan profesional halal termasuk Halal Executive, Halal Internal Auditing dan Halal Competency,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast