Orang ramai yang hadir bagi menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin ketika di Himpunan Malaysia bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 24 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menganjurkan  Minggu Solidariti Palestin bermula 29 Oktober hingga 3 November ini.

Menurut kenyataan KPM, program itu bertujuan mendidik murid-murid nilai-nilai manusiawi yang merangkumi hak asasi manusia dan sifat ihsan.

“Ini termasuk sikap empati dan keprihatinan terhadap penderitaan yang dialami individu lain tanpa mengira bangsa, agama atau status sosial,” katanya.

Tambahnya, program tersebut sebagai menyahut pendirian kerajaan untuk terus bersama-sama mempertahankan hak dan kebebasan rakyat Palestin.

“Sokongan ini adalah satu bentuk solidariti terhadap nilai kemanusiaan yang mementingkan kedamaian dan keamanan sejagat

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan program tersebut melibatkan semua institusi pendidikan bawah KPM iaitu sekolah, Kolej Vokasional, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru seluruh negara.

Katanya, pelbagai sepanjang program berlangsung yang akan disesuaikan berdasarkan kepada garis panduan sedia ada, sekolah dan kumpulan murid terlibat.

“Minggu Solidariti Palestin adalah kesinambungan penerapan nilai-nilai murni yang berteraskan sikap hormat-menghormati, kasih sayang, bertanggungjawab dan kegembiraan seperti yang terkandung dalam Pendidikan Sivik di sekolah.

“Selain itu, menerusi penganjuran program ini murid-murid turut diberi pendedahan kepada Elemen Merentas Kurikulum (EMK) khususnya yang berkaitan dengan kelestarian global.

“Aktiviti kerohanian seperti solat hajat dan bermunajat hanya akan melibatkan murid-murid beragama Islam sahaja,” tambah KPM. – MalaysiaGazette