Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin diiringi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal (kiri) dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian (kanan) melakukan gimik pada Majlis Pelancaran MyBrain 2.0 dan penyampaian Surat Tawaran Penjaja Tahun 2023 di Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya. Foto MHD NA’IM,26 OKTOBER 2023.

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memperkenalkan semula Program Biasiswa MyBrain (MyBrain 2.0) bermula awal tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin berkata, MyBrain 2.0 merupakan kesinambungan daripada MyBrain15 boleh dimohon kepada yang layak pada Januari 2024.

Sebagai permulaan, MyBrain 2.0 akan mensasarkan seramai 500 penerima bagi setiap tahun bagi program sarjana serta doktor falsafah.

“MyBrain 2.0 terbuka kepada orang awam yang tidak bekerja atau tidak berpendapatan tetap.

“Manakala pensyarah dari Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) bagi melanjutkan pengajian di peringkat pascasiswazah,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Program MyBrain 2.0 dan Penyampaian Surat Tawaran Program Penajaan KPT 2023 di Dewan Za’ba, Bangunan KPT, di sini.

Program biasiswa MyBrain khas untuk pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) yang diperkenalkan KPT pada 2011 bagaimanapun terpaksa dihentikan pada 2016.

Khaled berkata, KPT juga memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi setiap pengambilan pelajar yang layak.

“Program ini bagi memenuhi keperluan modal insan intelektual dan kepakaran tempatan bagi menyokong pembangunan negara.

“Setelah mengambil kira potensinya, dan usaha Kerajaan dalam meramaikan golongan intelektual serta pakar bagi menyokong matlamat kesejahteraan pembangunan negara.

“Kerajaan telah bersetuju untuk memperkenal dan melaksanakan semula program biasiswa ini pada 2024,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast