Shakilla Khoriri.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Shakilla Khoriri berkongsi satu video permohonan maaf yang dibuat oleh seorang penguna Instagram selepas membuat hantaran berbentuk fitnah ke atas dirinya.

Menerusi video tersebut, wanita berasal dari Terengganu itu membuat permohonan maaf secara terbuka selepas menuduh Shakilla berzina dengan suami orang di ruangan komen.

Ujar pelakon itu, dia juga meminta maaf kerana terpaksa melakukan tindakan tersebut sebagai satu bentuk pengajaran kepada orang di luar sana supaya tidak sewenang-wenangnya meninggalkan komen berbentuk fitnah kepada orang lain.

Lebih menyedihkan apabila wanita tersebut turut mempunyai seorang suami serta anak-anak menerusi gambar yang dikongsikan di media sosial tetapi sanggup melemparkan kata-kata tidak baik kepada orang lain yang langsung tidak ada kena mengena dengannya.

Difahamkan, wanita tersebut telah meninggalkan komen dengan mengatakan bahawa pelakon tersebut berwajah cantik namun ‘main’ suami orang dan mendapat beberapa tanda suka daripada netizen.

Jelasnya lagi, dia pun sudah terlupa di mana dia meninggalkan komen tersebut mungkin kejadian itu sudah lama.

Sementara itu, Shakilla memaklumkan yang kenyataan wanita terbabit bukan ditemui sendiri tetapi pihak peguam yang membuat tangkapan layar berkenaan komen tersebut.

Sebelum ini, pemilik nama sebenar, Nurul Shakilla Mohd Khoriri itu telah difitnah menjalinkan hubungan dengan suami orang sehingga pelbagai kata-kata negatif dilemparkan keatasnya.

Susulan daripada hal tersebut, pelakon drama Bisik Bisik Gelora itu meminta agar penfitnah berdepan dengannya dan menafikan dakwaan yang dibuat dengan niat menjatuhkan maruahnya.

Isnin lalu, bekas suami Shakilla yang juga penyampai radio Hot FM, Fizi Ali kembali bergelar suami kepada Siti Zulaiikha dalam majlis akad nikah yang dihadiri keluarga dan sahabat baik di Gombak.

Shalilla dan Fizi pernah mendirikan rumah tangga pada 18 Februari 2018 namun bercerai sekitar Disember 2021.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nurul Ameena Sofia yang kini berusia empat tahun – MalaysiaGazette